twinkle








ShAriNg LiNk

YaNg SeTia MeNgiKuT Srikandi_Islam

Friday, May 21, 2010

CinTa LuaR BiaSa


“Apakah ini kerana Allah?”.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu.
Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.

Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya.

Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang meninggalkan. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa..

Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan, “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar. Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh suaminya kerana Allah.

Ah, agungnya sejarah itu. Namun di mana asas kekekalan cinta itu masa kini? Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta. Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.

Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin ketara segala kelemahan dan kesalahan.

Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka, keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan, tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…

Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana? Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu kerja lagi, gerutu hati isteri.

Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!

Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.

Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah. Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar bengkok asalkan tak patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.

Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar degan perkahwinan yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai!

Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama… tetapi oleh orang yang sabar.

Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita, belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri kehendaki.

Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah, ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk diselesaikan.
Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang dapat diselesaikan dan ada yang tidak.

Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.” Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan… Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu dan bergantung kepada-Nya.

Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita. Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumah tangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan cinta biasa!

Diolah semula dari majalah Solusi, karya Pahrol Mohamad Juoi
~~serikandi~~

No comments:

Post a Comment