Friday, November 5, 2010

CeRiTa AgaMa: 3 SoaLan 1 JaWaPaN

Pengajaran yang baik....

Berikut ialah dialog antara seorang pemuda yang sedang mencari-cari kebenaran dengan seorang pendeta yang alim lagi bijaksana..

Pemuda : Anda siapa dan mampukah anda menjawab pertanyaan-pertanyaan saya????

Pendeta : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda....

Pemuda : Anda yakin???? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab  
pertanyaan saya....

Pendeta : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.

Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan:-

1.Kalau memang Tuhan itu ada ,tunjukkan kewujudan tuhan kepada saya....

 2.Apakah yang dinamakan takdir????

3.Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak  
 menyakitkan buat syaitan.... Sebab mereka memiliki unsur yang sama (api).... Apakah Tuhan tidak
pernah berfikir sejauh itu????

Tiba-tiba Pendeta tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras & kuat.....
Pemuda (sambil menahan sakit) :Kenapa anda marah kepada saya????

Pendeta : Saya tidak marah.....Tamparan itu adalah jawapan saya atas 3 pertanyaan yang anda ajukan
kepada saya....

Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti....
Pendeta : Bagaimana rasanya tamparan saya????

Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit....
Pendeta  :Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada????

Pemuda :Ya!!!!

Pendeta :Tunjukkan pada saya kewujudan sakit itu!!!!

Pemuda : Saya tidak boleh....saya tidak dapat menunjukkannya tapi saya mampu merasainya

Pendeta : Itulah jawapan bagi pertanyaan pertama.... kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya....

Pendeta : Apakah semalam anda bermimpi akan ditampar oleh saya pada hari ini????

Pemuda : Tidak!!!!

Pendeta : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima tamparan dari saya hari ini????

Pemuda : Tidak!!!!

Pendeta : Maka itulah yang dinamakan takdir....

Pendeta : Tangan yang saya gunakan untuk menampar anda tadi dibuat dari apa????

Pemuda :Tanah
Pendeta : Pipi anda pula dibuat dari apa????

Pemuda : Tanah yang dijadikan kulit....

Pendeta : Bagaimana rasanya tamparan saya????

Pemuda : Sakit....
Pendeta : Nah! Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan....

Pemuda tersebut akhirnya memahami pengajaran terbesar yang selama ini dicari sepanjang hidupnya. Bagaimana pula dengan kita? Masih berteka-teki dalam diri sendiri atau telah menemui jawapan pasti? renung-renungkan..



~~serikandi~~

Sunday, September 19, 2010

RuHuL AziM

Ruhul azim...

Ya ruhul azim....
Kau tidak melihat melainkan dengan hikmah
Kau tidak mendengar umpat keji yang merosakkan
Tidak engkau berbicara perkara yang sia-sia

Ya ruhul azim...
Wahai jiwa-jiwa yang besar
Tidak engkau kenal kecewa dalam perjuanganmu
Tidak engkau terbeban dengan dugaan yang menimpamu
Tidak engkau canggung dengan dunia di hadapanmu

Kau manusia berjiwa besar!
Cita-citamu tinggi melangit
Dan pandanganmu jauh menjakaui waktu
Matlamatmu hanya satu, menegakkan kalimah Islam di muka bumi.

Sukamu, dukamu, senyum, tawa dan tangismu penuh warna
Warna, yang tidak mungkin dimengertikan oleh insan biasa

Benar!!!
Mereka tidak mengerti!
Engkaulah pemilik jiwa yang besar..
Gembiramu bukan kerana engkau tidak punya masalah
Sebaliknya, kerana resolusi yang sentiasa mendahului
Sedihmu juga bukan kerana kehilangan nikmat
Sebaliknya kerana engkau rindukan ujian dr Tuhan

Ruhulll azimmmmm
Jiwa engkau pada sekeping hati
Dan hati engkau hanya pada Ilahi
Moga engkau miliki kemenangan yang hakiki..


nukilan oleh adik saya..
drfatimadagyno (^_^) ~
 -Fatima' Azzahraa'-


~~serikandi~~

Tuesday, June 8, 2010

Risalah Terakhir - Peluk Islam Selepas Hampir Bunuh Diri

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu,
ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang


~~serikandi~~

Wednesday, June 2, 2010

MuSiBah daRi DeRiTa GaZa


Siapapun akan menangis melihat Gaza menangis kerana apa yang telah menimpa Gaza, seharusnya dirasakan juga oleh kita semua. Dari jauh kita himpunkan doa moga ramai yang tahajud dan solat untuk umat Islam di Palestin.

Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa..Untuk saudara seagamaku di Gaza, ku titipkan tulisan ini sebagai tanda prihatinku untuk nasib kita ummat Islam.. Hanya satu pesanku, untuk kita semua… BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah , kita juga wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan kerana di sisi Allah, ada kebaikan yang tersirat walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatan sangat pahit, tetapi ia manis dan indah apabila hikmahnya dapat dicungkil insya-Allah.

Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala yang tidak disukai oleh manusia seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, kekecewaan, peperangan dan lain-lain. Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah lumrah hidup.

Timbul persoalan di hati, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Apabila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu.

Firman Allah s.w.t.:“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”(Surah al-Ankabut: 2)

Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah.

Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya.

Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Tiga jenis musibah :-

1. Kifarah.
Musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran itu.

Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada hukuman di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf, 43: 48)

Firman Allah swt:“Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” Al A’raf 168

2. Bala.

Ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”(Surah al-Tawbah, 9: 74)

Firman Allah lagi:“maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Al Ankabut: 40

3. Ibtila’
Musibah ke atas orang baik ketika melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.

Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, “kenapa aku yang kena?” sebaliknya mereka akan berkata, “aku telah terpilih.” Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab. Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:“Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim).

Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.

Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya.

Rasulullah saw bersabada:“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim.)

Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila’, kafarah atau bala? Paling tidak, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan segerakan taubat kepada Allah

Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada sinilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.

Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya.” Al Anfal 25

Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan.

Firman Allah:“Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.” Al An’am 42.

Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran.

Apayang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: “It is not how low you fall but how high you bounce back!” yang bermaksud, jangan melihat pada btapa rendahnya dirimu jatuh..tapi lihatlah btapa tingginya kamu dpt bangun dan mlompat semula dari kejatuhan itu..

Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar dan siapa pula umat Islam yang menyamar?

Kesimpulannya, hayatilah firman Allah s.w.t,

“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”(Surah al-Mulk: 3)

Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Maka terimalah setiap ujian Allah dengan hati yng redha dan pasrah..Kerana janji Allah, setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya... insyaAllah
saudara seagama,

~~srikandi_islam~~

Thursday, May 27, 2010

KaLau ALLah MaHa PeNgasiH KeNaPa BuaT NeRaKa?

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. 

Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat. 

 Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan itu, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. 

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. 

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda...

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat. "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..." 

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak. "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. 

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau takde neraka, saya pun tak nak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga...Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?" 

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "semua benda2 tak baik tu akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua akan masuk syurga..Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..takde siapa yang terima hukuman..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Sebab Tuhan itu 'baik'. 

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz. "A'ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis. Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?" Gadis tu terdiam. Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. 

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita." Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. 

 *untuk dikongsi bersama... http://koleksi-ilmiah.blogspot.com/ 

~~serikandi~~