Tuesday, June 6, 2023

Nukilan Ayah - Pengembaraan Yang Dilupakan

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Bahtera yang terus berlayar....

Setelah 41 tahun berlayar sejak 15hb April 1982, bahtera ini masih kukuh dan utuh. Berbagai ombak dan badai telah ditempuh. Ribut dan petir yang menghalang telah berjaya ditumpaskan. 

Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah kerana telah  memberikan kami ujian yang mampu kami hadapi dengan penuh kesabaran.

Ujian pertama bermula ketika di awal pelayaran. Ayahku hampir bergaduh dengan besannya berpunca dari barang niaga yang kami tinggalkan selepas berhijrah ke KL. Akhirnya reda setelah kedua-dua pihak mengabaikan perselisihan tersebut.
Masalah kecil jangan dibesarkan.

Ujian seterusnya bermula apabila kami mula tiba di Sungai Pencala dan menyewa rumah berhampiran kebun getah. Penceroboh telah memasuki rumah kami pada suatu malam. Sehingga kami terpaksa pindah dan buat laporan polis.  Kami bernasib baik ada kawan yang sudi menumpangkan kami beberapa hari sehingga dapat rumah sewa yang lain. Mereka adalah pelajar asing dari luar negeri. Terima kasih pasangan suami isteri dari Singapura dan Australia pelajar UIA. Pentingnya ada kenalan di saat genting.

Keadaan kami agak tenang sehingga kami mula berpindah ke Bandar Tun Razak. Keadaan ekonomi agak merosot apabila tanggungan bertambah sedangkan punca pendapatan tidak meningkat. Kesannya kami sering bergaduh sehingga satu ketika secara sedar satu tamparan kasar telah hinggap ke tubuh isteriku. Ini adalah tamparan pertama dan terakhir setelah kami bergaduh. 

Selepas itu dengan izin Allah rezeki kami mula berubah selepas beberapa usaha dilakukan. Isteri aku mula buat jualan terus dari pintu ke pintu menjual pinggan mangkuk bayaran ansuran macam warga Pakistan buat sekarang. Malam kami berniaga nasi ayam. Selepas itu kami dapat tempat buat potostat di matrikulasi UIA.

Keadaan ekonomi kami benar-benar telah berubah. Kami dah boleh beli van terpakai untuk kegunaan semua urusan kami. Benar janji Allah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya.

Siri seterusnya. 
Siapa gadis Kerinci ujian untuk kami.


 ~~Zainudin Abd Hamid~~