Monday, August 24, 2015

TerLaLu BanYak Tuk KuSyuKuRi







Terlalu banyak tuk kusyukuri 
Tiap pagi hidup kembali dari mati yang seketika
Tiap nafas yang terhela bersama denyut di nadi
Tiap darah yang dipam jantung mengalir ke seluruh anggota
Tiap nikmat berbeza dikecap saban harinya
Tiap lazat makanan yang dicicip tepat waktunya
Tiap rezeki yang tertitip walau bukan dengan usaha diri


Aku bersyukur padaMu Ya Rahman
Atas setiap jiwa yang Kau hadirkan sepanjang hidupku
Atas setiap doa yang tak putusnya Kau makbulkan
Atas kesihatan dan keselesaan yang Kau kurniakan
Atas segala kecukupan dan perlindungan
Atas kasih dan sayang yang Kau curahkan


Aku juga bersyukur kepadaMu Ya Rahim
Pada setiap yang kupunya tanpa pernah kupinta
Kerana itu adalah anugerah
Pada setiap sakit yang dihidapi
Kerana hadirnya dengan kafarah
Pada setiap ujian yang kualami
Kerana di dalamnya sejuta hikmah

Allahu Allahu Allahu Rabbi
Terlalu banyak yang kunikmati
Terlalu banyak tuk kusyukuri
Namun jarang terlafazkan
Kalimah indah Alhamdulillah
Maafkan daku Ya Allah
Hanya kepadaMu aku pasrah dan menyerah


Oh Allah
Jangan pernah berhenti dari memberi 
Jangan pernah berhenti merahmati
Ajari aku Ya Allah
Agar tidak pernah berhenti mensyukuri
Agar tidak pernah berhenti menikmati


Terima kasih Ya Allah
Atas segala nikmatMu 
Yang tak terhitungkan
Di dunia dan akhirat


~~srikandi_islam~~

Saturday, August 15, 2015

MeRaNcaNg KeMaTiaN


Pernahkah kita terfikir dan merancang kematian kita sebagaimana kita berfikir dan merancang kejayaan sepanjang perjalanan kehidupan kita? 

Hari ini suka untuk saya mengajak kita bersama-sama menelusuri kematian yang bakal kita alami pada bila-bila masa dari sekarang. 

Kemudian kita renungkan bersama-sama di mana salah silapnya kita selama ini dan bagaimana pula cara kita memperbaiki agar tiada penyesalan di "sana" nanti.


Apabila Ajal Menjengah

a) Bagaimana cara kita mati?
Kemalangan jalan raya? Bencana alam? Dibunuh? Nauzubillahiminzalik. Dalam tidur atau dalam solat?
    
b) Di mana dan dalam keadaan bagaimana?
Masjid, Makkah, atau dalam majlis ilmu? Di kelab malam, rumah urut atau ketika sedang berzina?

c) Mati dalam iman atau kufur?
Sama ada sempat bertaubat atau tidak. Melafazkan syahadah atau sedang memaki dan sumpah seranah?


Pengurusan Jenazah

a) Kematian ditangisi atau dinanti?
Jika kita disenangi dan disegani ramai, mungkin kematian kita ditangisi. Sebaliknya jika kita dibenci ramai yang ternanti-nanti kematian kita. Nauzubillahiminzalik.

b) Bagaimana keadaan mereka yang ditinggalkan?
Adakah cukup bekalan dunia dan akhirat yang kita tinggalkan buat keluarga tercinta? Adakah orang yang ditinggalkan terpaksa menanggung segala beban kerja, hutang atau dosa-dosa yang ditinggalkan?

c) Keadaan rumah dan fizikal kita bersih atau aib?
Perlu untuk kita sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Keadaan rumah dan fizikal diri kita yang tidak bersih pasti mengaibkan jenazah kita sendiri dan keluarga.

d) Pengurusan jenazah mudah atau sulit?
Adakah jenazah kita berat, busuk dan berulat sehingga susah untuk diuruskan? Nauzubillahiminzalik. Atau jenazah kita diringankan, berseri-seri, sedang tersenyum dan berbau wangi. Allahu. In shaa Allah.


Di Alam Barzakh

a) Bagaimana keadaan kubur kita?
Boleh jadi luas, bercahaya dan mudah dikebumikan. Mungkin juga sempit, tidak cukup tanah, disambut dek ular dan kala jengking. 

b) Mampukah berdepan mungkar nangkir?
Adakah kita dapat menjawab kesemua soalan yang bakal ditanyakan?

Siapakah Tuhan kamu? (Allah Taala Tuhanku)
Siapakah Nabi kamu? (Muhammad Nabiku)
Apakah agama kamu? (Islam Agamaku)
Apakah kiblat kamu? (Baitullah itu qiblatku)
Siapakah saudara kamu? (Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku)
Apakah pegangan iktikad kamu? (Kitab suci Al-Quran ikutanku)
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? ("La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah")

c) Bersediakah dipukul dan dipalu?
Sebelum berjumpa Allah, kita juga akan diseksa oleh malaikat di dalam kubur jika meninggalkan solat. Mungkin dipukul, dipalu. Mungkin kubur menjadi panas dan membara. Nauzubillah

Di Alam Akhirat

a) Ke mana hala tuju kita?
Mungkin terus ke syurga tanpa hisab atau mungkin terus dicampakkan ke neraka.

b) Bagaimana cara melalui siratal mustaqeem?
Sama ada laju lambat atau mungkin terjatuh di tengah-tengah perjalanan.

c) Berapa berat neraca timbangan mizan?
Mungkin berat amal melebihi berat dosa. Mungkin juga sebaliknya.

d) Siapa yang akan mendoakan kita?
Boleh jadi anak-anak soleh atau anak-anak yatim yang selalu kita ambilberat. Boleh jadi orang-orang yang selalu menerima sedekah jariah daripada kita. Atau mungkin tiada siapa kerana kita hanya pentingkan diri sendiri.

e) Buku amalan
Adakah kita menjadi golongan kiri atau kanan. Buku amalan yang bakal diberikan sama ada diterima dengan tangan kiri atau tangan kanan?

f) Alam akhirat
Sama ada kita menerima hukuman yang sentiasa diulang-ulang atau menerima ganjaran nikmat dan pahala di syurga abadi. 

Allahu a'lam bissawab.

Bila Izrail datang memanggil 
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil 
Terkujur badan nan kedinginan

Tak ada lagi gunanya harta 
Kawan karib sanak saudara
Jika lah ada amal di dunia 
Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung 
Engkau digelar manusia agung
Sadarlah diri tahu diuntung 
Sebelum masa keranda diusung 

Datang masanya insaflah diri 
Selimut putih pembalut badan 
Tinggal semua yang dikasihi 
Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Jom kita sama-sama menadah tangan dan berdoa. Moga-moga turut diaminkan melaikat di kiri dan kanan kita.

Ya Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani
Ampunilah dosa-dosa kami
Terimalah taubat kami
Terimalah segala amal ibadah sepanjang hidup kami
Sucikan diri kami sebagaimana sucinya kami ketika dilahirkan

Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Permudahkanlah segala urusan kami
Di dunia, di alam barzakh dan di akhirat
Permudahkanlah segala urusan mereka yang kami tinggalkan
Tutupkanlah segala keaiban dan dosa-dosa kami

Allahummah timlana bihusnul khotimah
Wala tahtim alaina bisu'il khotimah
Kurniakanlah kami pengakhiran hidup yang baik
Jangan Kau timpakan kesudahan yang buruk ke atas kami

Rabbana atina fiddunya hasanah
Wafil akhirati hasanah waqina 'azabannar
Kurniakanlah kebaikan kepada kami di dunia
Kurniakanlah kebaikan kepada kami di akhirat
Dan jauhkan kami dari azab api neraka
Ameen. Ameen. Ameen. Ya Rabbal Alameen

~~srikandi_islam~~

Friday, August 14, 2015

IQAB



IQAB. Mungkin ramai yang sudah mengetahuinya. Tak berdosa jika terus membaca. Malah berpahala andai memperbetul kekhilafan saya dalam pencerahan ini. 

Mungkin juga ada yang baru pertama kali mendengarnya. Tak perlu malu ketinggalan ilmu. Tapi malulah bila ilmu yang dah terhidang di depan mata dikesampingkan. 

Jom sama-sama kita telusuri. Apa itu IQAB?

IQAB daripada Bahasa Arab bermaksud hukuman atau denda. Ejaan bahasa arabnya ‘ain’, ‘khof’, dan ba’. Kata dalam al-Quran yang mempunyai seksaan salah satunya adalah kata `Iqab. Kata `Iqab ini berasal dari kata kerja `Aqaba- Ya`qubu-A`qban-Iqaaban yang bermaksud seksaan. Oleh itu kita dapat mengetahui erti yang sebenarnya daripada kata `Iqab itu sendiri, kerana seksaan atau ganjaran itu datangnya dari Allah SWT baik yang diturunkan ke dunia ini mahupun kelak di akhirat nanti. 

Setiap kesalahan individu pasti dikenakan hukuman oleh individu lain. A buat salah, B akan hukum. Penjenayah bersalah, penguasa hukum. Manusia buat salah, Allah hukum. Kebiasaannya hukuman ini berbentuk negatif. Dipenjara, disebat, digantung atau dicampakkan ke neraka. Na'uzubillahiminzalik.

BERBEZA DENGAN IQAB.

IQAB adalah denda atau hukuman yang dikenakan oleh DIRI ke atas DIRI SENDIRI. Denda dan hukuman dalam IQAB berbentuk POSITIF. IQAB dikenakan sebagai motivasi dan galakan kepada diri sendiri agar tidak mengulangi kecuaian dan kesalahan yang telah dilakukan.

CONTOH. Membaca 3 muka surat Al-Quran menjadi amalan kita setiap malam, tetapi suatu malam kita terasa amat malas untuk membacanya langsung (dek bisikan syaitan = syaitan menang dan bertepuk tangan). Malam esoknya kita IQAB diri dengan menggandakan bacaan ke 5-6 muka surat. Percayalah pada waktu itu syaitan akan rasa dikalahkan. 

Cuba kita iqab diri pada setiap amalan yang tertinggal. Amalkan sehingga syaitan merasa keliru kerana lebih banyak dibisikkan kejahatan lebih banyak pula kita gandakan amalan. ( Nah, sekarang siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam perjuangan?)

Jangan kenakan hukuman yang berat. Jangan sehingga membebankan dan menjejaskan amalan lain pula. Cukup sekadar peringatan pada diri agar lebih berhati-hati dalam menjaga amalan. Jangan pula menjadikan iqab sebagai alasan untuk bermalasan dalam melakukan amalan.

Sesungguhnya ‘iqab dan ganjaran hanyalah satu anjuran untuk meningkatkan motivasi dan disiplin dalam diri. Memberi ganjaran ketika membuat kebaikan dan menghukum ketika melakukan kesalahan. Tidaklah seberat mana hukuman yang dilalui di dunia jika dibandingkan dengan azab di hari pengadilan kelak untuk setiap dosa yang kita lakukan, nauzubillah. Betapa besar dan nikmat juga ganjaran yang bakal kita peroleh di syurga nanti andai amalan baik kita diterima Allah SWT. Subhanallah.


Sekadar renungan sebelum menangguhkan catatan:

 

“dan sesungguhnya (pertolongan) Allah SWT adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya” (Al-‘ankabut:26:69)

 

~~srikandi_islam~~