Tuesday, October 10, 2023

Mengapa Perlu Peduli Palestin?



بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Apabila anak kita bertanya, 
"Mengapa kita memberikan perhatian kepada PALESTIN dan selalu mengikuti isu semasa di Baitul Maqdis?"

Apa jawapan kita? 

Ceritakan kepada anak kita:
Wahai anakku, sesungguhnya PALESTIN adalah tempat tinggal para Nabi.

🇵🇸 Nabi kita Ibrahim عليه السلام hijrah ke PALESTIN.

🇵🇸 Nabi Lut عليه السلام diselamatkan oleh Allah dari azab yang turun pada kaumnya menuju bumi yang diberkati, iaitu bumi PALESTIN.

🇵🇸 Nabi Daud عليه السلام tinggal di PALESTIN dan membangun mihrabnya.

🇵🇸 Dan Nabi Sulaiman عليه السلام memerintah seluruh dunia dari PALESTIN, kisahnya yang popular berkaitan semut yangg berkata, “Hai semut, masuklah ke tempat tinggal kalian.” Tempat yang disebut dengan wadi an-Naml (lembah semut) itu terletak di PALESTIN dekat (‘Athqalan).

🇵🇸 Di PALESTIN juga, terdapat mihrab Zakaria عليه السلام, sebagaimana Musa عليه السلام meminta kaumnya memasuki Bumi Muqaddasah, beliau menamakan dengan al-Muqaddasah, iaitu (suci) dari syirik, dan dijadikan tempat tinggal para Nabi.

🇵🇸 Banyak mukjizat yang terjadi di dalamnya, di antaranya kelahiran Nabi 'Isa عليه السلام dari ibunya Maryam, seorang gadis tanpa suami, dan Allah mengangkatnya ketika Bani Israil sepakat untuk membunuhnya.

🇵🇸 Di PALESTIN, Maryam  menggoyang batang pohon kurma setelah kelahirannya dalam keadaan paling lemahnya wanita.

🇵🇸 Termasuk tanda-tanda akhir zaman di PALESTIN, Nabi 'Isa عليه السلام akan turun di menara putih Syria, dan akan membunuh Dajjal di gerbang Lod PALESTIN, serta banyak cerita lain yang pernah terjadi di PALESTIN, di antaranya kisah Talut dan Jalut.

1. Anak kita bertanya: 
“Bagaimana dengan Nabi Muhammad ﷺ dan hubungannya dengan PALESTIN?”

Jawab: 
“Dulu kiblat pada awal diperintahkannya solat adalah menghadap ke PALESTIN, dan ketika Nabi hijrah ke Madinah, Malaikat Jibril turun dan baginda sedang solat, Jibril memerintahkan untuk mengubah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah al-Mukarramah lalu masjid tempat baginda solat dinamakan masjid Dzulqiblatain (dua kiblat).”

🇵🇸 Demikian juga ketika Rasulullah ﷺ melakukan Isra’, baginda pergi ke Baitul Maqdis sebelum Mi’raj ke langit. Inilah terminal pertama baginda berhenti setelah berangkat dari Mekah sebelum menuju ke langit, dan baginda menjadi imam solat para Nabi.

🇵🇸 Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah: “Masjid mana yang pertama kali diletakkan oleh Allah di muka bumi?” Baginda menjawab, “Masjidil Haram.” Aku bertanya lagi, “Kemudian masjid mana?” Baginda menjawab, “Masjidil Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak antara keduanya?” Baginda menjawab, “Empat puluh tahun.” Kemudian baginda bersabda, “Di manapun solat menjumpaimu, maka solatlah dan bumi bagi kalian adalah masjid.”

🇵🇸"Wahai anakku, Apakah kamu tahu bahawa Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu 'anhu meskipun sibuk dengan masalah kemurtadan orang-orang Arab di Jazirah Arab dengan menyediakan pasukan untuk memerangi mereka agar kembali kepada Islam yang benar, beliau tidak membatalkan pasukan yang diperintahkan Nabi untuk pergi ke Syam, meskipun memerlukan kekuatan untuk mengembalikan kestabilan Jazirah.

🇵🇸 Apakah kamu tahu masa keemasan penaklukan Islam di masa Umar al-Faruq radhiyallahu ‘anhu, beliau tidak pernah keluar dari Madinah untuk merayakan penaklukan (pembukaan) negeri kecuali PALESTIN, beliau pergi ke sana sendiri dan membukanya dengan damai, solat di dalamnya dan menerima kunci untuk menyelamatkan orang-orang Nasrani dari penindasan orang-orang Rom saat itu.

🇵🇸 Kemudian dibuka lagi oleh Salahuddin al-Ayyubi di hari bersejarah tahun 583 H hari Jumaat bertepatan dengan tanggal 27 Rajab, tanggal yang sama dengan malam Mi’rajnya Nabi ke langit melalui Baitul Maqdis. Ini merupakan fakta yang ajaib yang mana Allah memudahkan pengembalian al-Quds kepada pemiliknya sama seperti waktu Isra’ dan Mi’raj."

2. Anak kita bertanya lagi: 
“Kenapa dinamakan dengan Baitul Maqdis?”

Jawab: 
“Nama ini telah ada sebelum turunnya al-Quran, ketika al-Quran diturunkan, ia disebut Masjid al-Aqsa, dan dinamakan Baitul Maqdis kerana kesuciannya yang istimewa.

Oleh kerana itu, tanah PALESTIN dan Syam adalah tanah Ribat, telah syahid di dalamnya 5000 dari kalangan para sahabat mulia, mereka bersemangat untuk membuka Baitul Maqdis dan membebaskannya daripada penindasan Rom. Para syuhada’ masih berguguran sampai hari ini, inilah tanah para syuhada’ dan tanah ribat.”

3. Anak kita berkata: 
"Jadi, pentingnya Masjid al-Aqsa dan bumi Syam seperti pentingnya Haramain, Mekah dan Madinah?”

Jawab: 
“Ya, anakku. Allah ﷻ mengumpulkan keduanya dalam firman-Nya, *“Demi buah Tin dan buah Zaitun. Dan demi bukit Sinai. Dan demi kota Mekah ini yang aman*.” (At-Tin: 1-3)

🇵🇸 Ibnu Abbas berkata: "At-Tin adalah negeri Syam, az-Zaitun negeri PALESTIN, bukit Sinai adalah gunung di mana Allah berbicara kepada Musa عليه السلام di Mesir, dan al-Balad al-Amin adalah Mekah al-Mukarramah."

🇵🇸 Allah ﷻ berfirman: “Dan sungguh kami telah tetapkan dalam kitab-kitab setelah dicatat di Lauh Mahfuzh bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.” (Al-Anbiya’: 105)

4. Anak kita berkata: 
“Sekarang saya faham pentingnya PALESTIN dan Masjid al-Aqsa, sebagaimana saya faham bahawa solat di dalamnya dilipatgandakan menjadi 500 kali ganda, apakah ini benar?”

Jawab: 
“Ya nak, itu benar, dan jangan kamu lupakan anak-anak PALESTIN dan penduduknya dari doamu. Semoga Allah memberkatimu nak.”

Footnote: This is not my writing. Credit to the original writer

Semoga Allah sentiasa memberkati, merahmati dan melindungi saudara-saudara kita di PALESTIN.

#israelcuak
#freepalestine


 ~~serikandi~~

Tuesday, June 6, 2023

Nukilan Ayah - Pengembaraan Yang Dilupakan

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Bahtera yang terus berlayar....

Setelah 41 tahun berlayar sejak 15hb April 1982, bahtera ini masih kukuh dan utuh. Berbagai ombak dan badai telah ditempuh. Ribut dan petir yang menghalang telah berjaya ditumpaskan. 

Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah kerana telah  memberikan kami ujian yang mampu kami hadapi dengan penuh kesabaran.

Ujian pertama bermula ketika di awal pelayaran. Ayahku hampir bergaduh dengan besannya berpunca dari barang niaga yang kami tinggalkan selepas berhijrah ke KL. Akhirnya reda setelah kedua-dua pihak mengabaikan perselisihan tersebut.
Masalah kecil jangan dibesarkan.

Ujian seterusnya bermula apabila kami mula tiba di Sungai Pencala dan menyewa rumah berhampiran kebun getah. Penceroboh telah memasuki rumah kami pada suatu malam. Sehingga kami terpaksa pindah dan buat laporan polis.  Kami bernasib baik ada kawan yang sudi menumpangkan kami beberapa hari sehingga dapat rumah sewa yang lain. Mereka adalah pelajar asing dari luar negeri. Terima kasih pasangan suami isteri dari Singapura dan Australia pelajar UIA. Pentingnya ada kenalan di saat genting.

Keadaan kami agak tenang sehingga kami mula berpindah ke Bandar Tun Razak. Keadaan ekonomi agak merosot apabila tanggungan bertambah sedangkan punca pendapatan tidak meningkat. Kesannya kami sering bergaduh sehingga satu ketika secara sedar satu tamparan kasar telah hinggap ke tubuh isteriku. Ini adalah tamparan pertama dan terakhir setelah kami bergaduh. 

Selepas itu dengan izin Allah rezeki kami mula berubah selepas beberapa usaha dilakukan. Isteri aku mula buat jualan terus dari pintu ke pintu menjual pinggan mangkuk bayaran ansuran macam warga Pakistan buat sekarang. Malam kami berniaga nasi ayam. Selepas itu kami dapat tempat buat potostat di matrikulasi UIA.

Keadaan ekonomi kami benar-benar telah berubah. Kami dah boleh beli van terpakai untuk kegunaan semua urusan kami. Benar janji Allah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya.

Siri seterusnya. 
Siapa gadis Kerinci ujian untuk kami.


 ~~Zainudin Abd Hamid~~

Thursday, April 13, 2023

Palestin Menangis



بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Lantaran jeritan yang tak terdengarkan
Dek sengaja dipekak buta dan tulikan
Lewat tulisan ini aku bingkiskan
Nukilan lara jiwa dan perasaan
Kisah cinta kasih dan kemanusiaan
Hempedu derita berkuah manisan iman

Berteleku aku di hamparan sejadah
Memula kata dengan Bismillah
Melafaz kalimah indah janji-janji Allah
Karya agung penuh hikmah dan hidayah
Amat benarlah firman Kalamullah
Pahit mujahadah disaji syurga indah

Siapa kita untuk menafikan sengsara
Memejam mata menidakkan hak mereka
Kedangkalan dunia menjangkaui kemuncaknya
Kebiadaban manusia memakan sesama manusia
Ke mana hilang norma moraliti kita
Tatkala saudara terhenyak di sudut dunia?

Andaikan Nabi Muhammad sedang melihat
Sedih kesal kecewa terkilannya pasti tak terubat
Baginda hanya risaukan kita sebelum wafat
Membekalkan kita dua amanat
Al-Quran dan As-Sunnah yang hebat
Mengajar kita agar saling menghormat
Bukan bermusuhan berpaling taat
Alangkah malunya sekalian ummat

Allahu Ya Rabbul Izzati
Wahai Zat yang Maha Mengampuni
Sudilah kiranya Kau maafkan kami
Hamba-Mu yang lupa pada janji sendiri
Bahawa amanah itu di tangan ini
Sebagai khalifah di muka bumi
Mempertahankan agama dan saudara seagama kami 

~ Tak perlu jadi seorang Palestina untuk mengerti. 
Cukup sekadar memiliki sekeping hati. Hati yang tak mati ~

#israelcuak
#freepalestine


 ~~serikandi~~

Tuesday, April 11, 2023

Nukilan Ayah (7)


بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Pengembaraan Yang Dilupakan......

Sejarah yang berulang.....

Setiap detik yang berlalu adalah sejarah. Samada ia berlaku 60 tahun yang lalu atau sejam yang lalu. Semua peristiwa yang telah berlalu, pasti tidak dapat diundurkan semula. Ia telah menjadi sejarah.

Jika ia adalah peristiwa indah, pasti akan kekal dalam memori. Jika ia adalah peristiwa hitam, pasti jejaknya pun akan cuba dipadam.

Di sini aku akan menceritakan sebuah kisah indah yang telah berulang kembali setelah ia berlaku lebih dari 60 tahun yang lalu.

60 tahun lalu aku telah dibesarkan oleh tok Melah dan tokwan Jen sehingga berusia 15 tahun sebelum kembali tinggal bersama mak dan ayah aku semula.

Sekarang selepas 60 tahun berlalu, setelah tok, tokwan dan ibu bapaku dah tiada, aku kembali mengulangi sejarah untuk membesarkan seorang cucu bersama kami.

Namanya Muhammad Faqehudin. Di sini aku menulis J. Din (junior). Manakala W. Din (wan) adalah aku. Kami mula menjaga J. Din sejak lahir sehingga kini berumur 6 tahun. Manakala aku W. Din 61 thn. 

Saat ini adalah masa paling indah, apabila Allah SWT memperlihatkan pada aku satu persatu detik-detik seorang datuk dan nenek membesarkan seorang cucu. Sudah pasti aku terbayangkan bagaimana W. Din dibesarkan oleh tok Melah dan tok Jen. 

J. Din sentiasa ingin tidur di tengah-tengah antara kami. Terlalu manja dengan tok, mengalahkan ibunya. Manakala W.Din pasti akan mudah mengikut apa saja kemahuan J. Din yang baik. 

Begitu juga bila J. Din ditimpa ujian kena patuk ular semasa dia berumur 2 tahun.  Maka yang terasa perit merawatnya ke hospital selama beberapa bulan adalah tok dan wan. 

Begitulah layanan tok dan tokwan dengan cucunya macam aku dulu-dulu. Kepada yang belum bergelar tok dan tokwan bersabar dulu sebelum anda menyalahkan mereka kerana memanjakan cucu.

Syukur Allah SWT memperlihatkan kembali kisah silam aku bersama tok Melah dan Tokwan Jen. Semoga kita semua akan dikumpulkan semula di Jannah nanti.

Dan aku mula membayangkan betapa kenangan indah itu adalah amalan-amalanku yang baik yang ingin aku bawa sebagai bekal ke akhirat nanti. Dan segala kenangan gelap ingin aku padamkan dari kitab amalku. 

Aku mulai takut, aku akan menyesal di sana kerana aku telah mensia-siakan segala peluang yang Allah SWT telah berikan selama ini.

Kerana di akhirat nanti semua orang akan menyesal bila melihat apa yang Allah SWT sediakan untuk segala amalan baik tersebut. "Kenapa aku tidak lakukan itu dan kenapa aku tidak lakukan lebih baik dari itu".


-Zainudin Abd Hamid-

Sunday, April 9, 2023

Allah Maha Baik

 

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Pernah tak kita rasa beribadah, beramal soleh dan bersedekah jariah selama bertahun-tahun itu tidak cukup? Terasa seperti semuanya terlalu kecil jika dibandingkan dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sejak di Luh Mahfuz? Subhanallah. 

Apalah sangat amalan kita sebagai tanda berterima kasih kepadaNya. Sedangkan kita dilahirkan sebagai seorang muslim itulah nikmat terbesar yang tiada tolok bandingnya. Nikmat iman, islam dan ihsan yang menjamin syurga buat pemiliknya. Allahuakbar.

Bagaimana pula dengan dosa kita yang bak buih di lautan? Allah itu Maha Pengampun. Allah tahu kita berbuat dosa tapi tidak dihukum dengan kematian secara tiba-tiba. Allah tahu kita bergelumang maksiat tapi tetap dikurnia pelbagai nikmat. Allah masih bagi masa, nyawa, ruang dan peluang untuk kita bertaubat. Baiknya Allah.

Justeru, sebesar apa pun dosamu, selama ajalmu belum tiba, solatlah. Bertaubatlah. 


 ~~serikandi~~

Thursday, April 6, 2023

Cara Ikat Nikmat


بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ


Bila sebut tentang nikmat, ma shaa Allah sebenarnya terlalu banyak Nikmat Allah yang perlu disyukuri. Bagaimana cara untuk kita ikat segala kurniaan Allah tersebut sebagai tanda bersyukur dan dapat terus kita nikmati hingga ke akhir hayat? 

Antara yang pernah saya dengar daripada ceramah Ustaz Wadi Annuar, kita boleh ikat nikmat yang dikurniakan dengan cara sentiasa mengucapkan Alhamdulillah atas segala sesuatu (bukan sekadar material yang maujud) yang Allah kurniakan.

Antara yang saya amalkan ;-

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat syahadah/Islam/iman. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat taufik dan hidayah-Mu. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat tahajjud/qobliah/ba'diah. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat membaca/menghafaz/tadabbur Al-Quran. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat solat Subuh/Zohor/Asar/Maghrib/Isyak. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat menutup aurat dengan sempurna. Kekalkan nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakan seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah.

Dan pelbagai lagi nikmat yang lain.

Akhir sekali saya selalu ucapkan "Alhamdulillahi 'ala Kulli Haalin Wa Astaghfirullahi Min Kulli Dzanbin" (Alhamdulillah atas segala sesuatu dan ampuni segala dosaku)

Sama-sama kita amalkan. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. Kerana Allah pasti menambahkan nikmat-Nya kepada mereka yang bersyukur.


 ~~serikandi~~

Wednesday, April 5, 2023

Hijrahku - Pakaian Serba Hitam


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sejak kecil saya tidak berpeluang ke sekolah agama. Hanya mengaji Al-Quran di rumah ustazah yang kami gelar Ummi. Ketika itu saya sangat cemburu akan adik-adik saya yang berulang ke sekolah agama setiap hari seusai sekolah kebangsaan. Mereka lebih mahir ilmu tajwid, hafazan, bahasa Arab dan doa-doa berbanding saya. Mereka anak-anak yang baik sejak kecil. Sedangkan saya berkawan dengan kaki ponteng sekolah, ponteng puasa, mencuri, mencarut, bergaul bebas tanpa batas dan serba serbi lagi kenakalan zaman kanak-kanak dahulu. Maklumlah, kami budak tak sekolah agama.

Alhamdulillah Allah tak biarkan saya hanyut bersama kawan-kawan yang begitu terlalu lama. Allah takdirkan saya diterima masuk ke sekolah menengah agama dengan rayuan kerana tiada sijil sekolah rendah agama. Di situ saya mula berkenalan dengan sahabat-sahabat yang baik. Kami dilatih untuk menjadi hamba Allah yang taat. Seingat saya, sejak tingkatan tiga lagi saya mula berminat untuk memakai jubah serba hitam. Terima kasih ustazah Aisyah yang pernah menjadi guru ganti kami kerana dia setiap hari ke sekolah dengan berjubah hitam. Dia kelihatan paling tidak menarik berbanding guru-guru lain yang berpakaian warna-warni. Tetapi bagi saya, dia terlihat jauh lebih elegan dan sofistikated namun penuh kesederhanaan. Sejak itu saya memasang angan-angan untuk menjadi seperti dia. 


Menginjak dewasa, angan-angan tersebut kian sirna dek pergaulan rakan sebaya. Kami merupakan mangsa peredaran zaman dan budaya pada ketika itu. Bersama-sama mereka, saya mula mengenali fesyen dan trend. Bertudung singkat, berpakaian ketat, berkasut tumit tinggi menjadi lumrah dan norma. Sehingga hari ini, saya tidak sesekali menyalahkan sahabat-sahabat saya. Sebaliknya saya bersyukur  kerana tanpa mereka, saya takkan belajar daripada kesilapan dan mungkin tersasar lebih jauh dari landasan.

Yakinlah, andai Allah tangguhkan sesuatu perkara, ganjaran sebenarnya jauh lebih berganda buat hamba-hambaNya yang bersyukur. Hanya di peringkat sekolah rendah sahaja saya tak berkesempatan bersekolah agama. Tetapi Allah rezekikan saya ke sekolah menengah agama (walau tanpa asas agama). Kemudian Allah juga rezekikan saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa (yang banyak mengajarkan saya ilmu agama). Akhirnya Allah tempatkan saya bekerja di sekolah yang bukan satu, malah dua perkataan agamanya. Sekolah Menengah AGAMA Majlis AGAMA Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP, KL). 

Selama ini kita mendepani kehidupan seperti biasa tanpa menyedari sesungguhnya tiada sebesar zarah pun perkara yang berlaku secara kebetulan tanpa pengetahuan-Nya. Sedangkan sebutir pasir di celahan batu pun dalam pengetahuan Allah, apatah lagi perjalanan hidup seorang hamba. Akhirnya saya sedar bahawa percaturan Allah itu serba sempurna. Semasa di alam pekerjaan inilah Allah mula melimpahkan taufiq dan hidayahnya kepada saya. 

Melapor diri dengan tudung singkat, jarang dan bertoncet pula di sanggul, saya ditegur oleh Penolong Kanan 1 pada ketika itu supaya melabuhkan tudung. Tegurannya penuh berhemah, berhikmah dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam di hati saya. Tidak sekelumit pun bahasanya yang menyinggung perasaan, menyakitkan hati apatah lagi menghina, mengherdik dan mencaci insan yang serba jahil ini.

Sejak hari itu Allah menjentik hati saya untuk terus bertudung labuh. Bermula dengan bidang 45 ke 50 kemudian bidang 55 ke 60. Akhirnya saya bertekad memakai tudung bulat. Hampir 20 helai tudung bulat berwarna-warni saya borong dan gantung dalam almari. Tergerak hati untuk sedekahkan tudung-tudung lama. Namun bila dipegang dan dicuba semula tudung lama itu, berderai air mata, teresak-esak saya menangis mengalahkan baby hingga terduduk dan bersujud di pintu almari.

"Kecilnya tudungku dulu Ya Allah..jarangnya..betapa sanggupnya aku pakai tudung yang sebegitu rupa Ya Allah..bodohnya aku Ya Allah..Jahilnya aku Ya Allah..ampuni aku Ya Allah..ampuni dosa-doasaku Ya Allah.." Lama saya menangis menginsafi dan menyesali sikap sendiri yang mengabaikan perintah Allah untuk melabuhkan tudung menutupi dada. Terima kasih Allah masih menegur dan memberi peluang untukku membetulkan kesilapanku. Allahuakbar. Akhirnya tudung-tudung lama itu saya buang supaya tiada yang mengulangi khilaf saya di masa lalu.


Selepas bertudung labuh, saya mula memakai handsock dan akhirnya saya memutuskan untuk berniqab. Tiada siapa yang memaksa, hanya Allah menjentik hati saya untuk sentiasa ke arah yang lebih baik hari demi hari. Setiap kali bersiap di depan cermin, saya selalu mengucapkan "Alhamdulillah, terima kasih ya Allah, atas nikmat menutup aurat dengan sempurna. Kekalkanlah nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakanlah seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah."

Hingga suatu ketika, Allah padamkan cinta dunia di hati saya. saya mula rasa rimas dengan pakaian berwarna-warni. Bila setiap hari saya perlu berperang dengan diri di hadapan almari "baju warna apa untuk dipadankan dengan tudung warna apa?" Tiba-tiba terdetik dalam hati "Baju warna sekian perlu dipadankan dengan tudung warna sekian. Kalau tak sama dikatakan tak matching, buta warna, tak ikut trend, tak up to date. Kenapa? Dan sampai bila aku perlu terikat dengan undang-undang manusia macam ni?" 

Sejak itu saya mengambil keputusan untuk berlepas diri dari peraturan manusia dan berusaha untuk mencontohi Saidatina Fatimah Azzahra. Saya tak mahu lagi berpakaian cantik dan berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang untuk melirik. Cukuplah saya berpakain serba hitam. Sebelum mula borong pakaian hitam, saya mohon izin suami dulu. Bila dah dapat restunya saya tanya "abang tak malu ke nanti kalau orang tengok isteri abang ni hari-hari pakai serba hitam?" Tersentuh hati saya bila dia jawab "dah bertutup litup macam tu kenapa abang nak malu? Suami yang biarkan isteri dia tayang aurat sana sini itu yang sepatutnya malu." Allahuakbar.

Akhirnya saya sedekahkan semua tudung dan pakaian saya yang berwarna-warni dan mula membeli pakaian hitam untuk dipakai setiap hari. Sedikit pun saya tak rasa sayang, ragu-ragu dan berkira-kira semasa membungkus semua pakaian tu. Sebaliknya saya rasa puas, lapang dan lega sungguh melihat almari yang hampir kosong. Hanya baju batik rasmi, jubah hitam, baju kurung hitam dan tudung 5-6 helai sahaja yang berbaki dalam almari. Saya bersyukur kerana dimudahkan urusan melepaskan sebahagian dunia dari diri saya. Alhamdulillah. 

Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kau dustakan? Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. I love You Ya Allah atas nikmat hidayah dan hijrah ini. Kurniakanlah seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah. Tetapkanlah iman kami, jangan Kau bolak balikkan hati kami. Kurniakan kami keredhaan-Mu di dunia dan akhirat. Satukan kami di Syurga Firdaus-Mu yang tertinggi tanpa hisab dan azab. Aamiin aamiin aamiin Ya Rabbal 'Alamin.


 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


 ~~serikandi~~

Covid-19 dan Husnul Khotimah


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Pernah tak kita terfikir bahawa doa yang selalu kita panjatkan memohon husnul khotimah, Allah jawab melalui Covid-19.

Bukan beerti kita mati sebagai mangsa virus Corona tetapi mungkin virus ini ditakdirkan menjadi asbab kematian kita dalam keadaan hunul khotimah.

Sebelum diteruskan, ayuh sama-sama kita fahamkam terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan husnul khotimah.

Walaupun kematian itu boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, namun Allah menetapkan bahawa seseorang itu hanya akan menemui ajalnya dengan dua cara sahaja iaitu husnul khotimah atau suul khatimah. 

Kematian husnul khotimah bermaksud kematian dengan kesudahan yang terbaik.  Ertinya mati dalam keredhaan Allah dan kita juga redha dengan ketentuan Allah.

Justeru, apa perkaitan antara keadaan kita yang sedang lockdown dan kuarantin di rumah ini dengan husnul khotimah?

Antara hikmah Covid-19 ini ialah:-

1) Kita Terpaksa Duduk di Rumah

Tanpa pandemik yang Allah takdirkan ini, sudah pastinya manusia bebas ke sana sini di seluruh pelusuk dunia. Lebih banyak kita berjalan, lebih banyak mata memandang, lebih banyak mulut berkata-kata maka akan lebih banyaklah dosa kita. Sedangkan jika kita hanya berdiam di rumah semata-mata adakah sebegitu banyak juga dosa kita? Tentulah tidak. 

Jika ditakdirkan mati di rumah, kita mati dalam keadaan tidak berbuat dosa, maksiat atau segala keburukan lain. Justeru, dengan keterpaksaan kita berkurung di rumah menjadi salah satu asbab kita mati dalam husnul khotimah. In shaa Allah.


2) Banyak Masa Untuk Allah 

Rentetan dari berkurung di rumah, kita akan mempunyai terlalu banyak masa terluang. Justeru, daripada menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia, lebih afdhal masa itu kita peruntukkan khas untuk Allah. Bagaimana? 

Antaranya dengan mendirikan solat pada awal waktu. Kemudian meneruskan dengan qadha segala solat yang pernah ditinggalkan. Walau kita tak pernah tinggal solat, sekali sekala qadha juga kerana kita takkan pernah tahu mana satu solat kita yang diterima, mana pula solat yang tidak dikira.

Seterusnya mendirikan solat-solat sunat seperti sunat qobliah dan sunat ba'diah yang afdhal dilakukan pada waktu sebelum atau sesudah sesuatu solat fardhu. Kemudian kita juga boleh teruskan dengan zikir, baca quran, belajar tajwid dan tadabbur quran.

Akhir sekali, kita juga digalakkan untuk sentiasa bertaubat dengan sebenar-benar taubat atau taubat nasuha. Firman Allah:-

“Innallaha yuhibbut tawwaabiina wa yuhibbul mutathahhiriin” 
Sesungguhnya Allah mencintai orang yang taubat dan orang yang menyucikan diri. 
(Al Baqarah 222).



~~serikandi~~

Iman Naik dan Turun


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Apabila merasakan imanmu sedang berada di kemuncaknya, perbanyakkanlah amal ibadah;-

Baca tafsir
Qada solat
Solat sunat
Hafaz surah
Baca mathurat
Tadabbur quran
Perbanyakkan berselawat
Bersedekah beramal jariah
Berzikir berdoa bermunajat
Baca/dengar/tonton ilmu agama

Justeru, saat imanmu sedang jatuh, takkan lama di takuk itu kerana hati pasti rindu.

" Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang"  ( surah Ar-Ra'd  ; 28 )

Amalkan doa ;-

Rabbana la tuzigh qulubana ba'da idz hadaitana wahablana minladunka rahmah innaka antal wahhab.

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami dari Islam setelah Engkau beri hidayah kepada kami. Limpahkanlah keimanan kepada kami dari sisi-Mu. Engkau Maha Pemberi rahmat kepada orang-orang mukmin.”



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

~~serikandi~~

Tuesday, April 4, 2023

Nawaitu Lillahi Ta'ala


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Mulakan dan akhiri rutin harian kita dengan nawaitu agar segala yang kita lakukan dikira dan dicatat sebagai amal jariah yang berpanjangan. In shaa Allah.

Antara yang saya amalkan sehari-hari;-

1. Bangun, baca doa bangun tidur. 

    (Sunnah nabi, usap muka untuk menghilangkan kesan tidur)

2. Jangan pernah tinggalkan zikir ini walau pada jam berapa sekali pun kita terjaga 

    dari tidur;-

    a) Subahanallah

    b) Walhamdulillah

    c) Wala 'ilaha 'illallah

    d) Wallahuakbar

    e) Wala hawla wala quwwata illa billahil 'aliul 'adzim

    f) Zikir Nabi Yunis (Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minad dzolimin)

        (“Tiada tuhan selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan 

         orang-orang yang zalim”)

    g) Doa kepada kedua ibu bapa (Allahummaghfirli wali walidayya warhamhuma kama

        robbayani soghiro) 

        (“Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah 

        mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”)

    h) Doa kepada seluruh ummat Muhammad (Allahummaghfir Lil Muslimina Wal 

         Muslimat, Wal Mu'minina Mal Mu'minat, Wal Mu’allimina Wal Mu’allimat, 

         Al Ahyaa’i Minhum Wal Amwat, Birahmatika Ya Arhamar Rahimin) 

         ("Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan

         mukminat, serta para guru kami, sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah

         meninggal, dengan RahmatMu yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang")

3. Mandi (Sahaja aku mandi untuk menyucikan diri sebagai salah satu ibadah, 

    Lillahi Ta'ala)

4. Pakai baju (Sahaja aku menutup aurat sebagai salah satu ibadah, Lillahi Ta'ala)

5. Pergi kerja (Sahaja aku bekerja sebagai salah satu ibadah, Lillahi Ta'ala)

6. Memasak (Sahaja aku memasak sebagai salah satu ibadah, Lillahi Ta'ala )

7. Mengemas rumah (Sahaja aku menguruskan rumah tangga sebagai salah satu ibadah, 

    Lillahi Ta'ala)

8. Posting dakwah di semua media sosial (Sahaja aku berdakwah sebagai salah satu

    ibadah, Lillahi Ta'ala)

9. Melayani suami (Sahaja aku mentaati suami sebagai salah satu ibadah, Lillahi Ta'ala)

10. Sebelum tidur, niatkan dalam hati (Ya Allah, aku maafkan segala dosa seluruh 

      makhluk yang pernah menzalimiku sama ada secara sengaja atau tidak. 

      Putuskan urusan kami di padang mahsyar kelak.)


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


 ~~serikandi~~

Monday, April 3, 2023

Andai Esok Nafasku Terhenti


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sesekali terdetik, andai esok aku dijemput Ilahi, apakah lagi amalan yang boleh kubawa bersama sebagai bekalan diri di yaumul hisab nanti. Sedekah jariahku mungkin tak seberapa. Doa anak yang soleh jauh sekali. 

Tiba-tiba terlintas "Aku ada blog. Mungkin boleh kutinggalkan sedikit ilmu yang bermanfaat."

Justeru, aku bertekad memenuhkan blog ini dengan ilmu, pesanan dan nasihat selama mana Allah kurniakanku hayat. 

Kepada kalian yang sedang membaca blogku, andai ada walau sekelumit ilmu yang bermanfaat, sebar-sebarkanlah. Moga menjadi bekalku di sana nanti. 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

~~serikandi~~