Wednesday, January 31, 2024

Mimpiku


بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Mimpiku 

Waktu itu aku dalam van bersama 4-5 orang muridku. 2 orang daripada mereka tidak bertudung. Macam-macam topik yang kami bualkan tapi aku tak dapat ingat dengan jelas butir bicara kami. Apa yang aku ingat adalah ayatku kepada kedua-dua orang muridku yang tidak bertudung itu. 

"Kamu tau tak, dulu cikgu pun macam kamu juga, tak bertudung..pi skolah kadang-kadang bertocang, kadang-kadang bertoncet kadang-kadang tak ikat rambut pun.. Alhamdulillah sekarang Allah dah tutup aib tu.. Cikgu dah berniqab dan cikgu selalu berdoa - Ya Allah ya tuhanku, kurniakan seluruh ummat Muhammad rezeki untuk berniqab..kurniakan seluruh ummat Muhammad rezeki untuk menutup aurat dengan sempurna..supaya tak ada ummat Muhammad yang masuk neraka..-" 

Aku menangis..anak-anak muridku semua menangis dan memelukku..lalu aku pun terjaga dari lenaku dalam keadaan masih sebak..

Tiba-tiba aku terfikir..bukankah mimpi itu mainan syaitan..bukankah syaitan sukar menyebut kalimah Allah dan Muhammad? Selama ini kalau aku bermimpi ngeri sekalipun, bila nak sebut "Allahuakbar" lafaz itu pasti tersekat di kerongkong..bila hampir tersedar dari mimpi baru boleh sebut dengan jelas "Allahuakbar". 

Berbeza sungguh mimpi aku kali ini..Bukan sahaja aku dapat menyebut dengan lancar kalimah Allah dan Muhammad..Malah aku dapat berdoa agar seluruh ummat Muhammad dijauhkan dari azab api neraka.. Allahuakbar

Agak mustahil untuk syaitan berdoa. Apatah lagi doa khusus buat seluruh ummat Muhammad. Dimohon pula untuk dijauhkan kita semua dari api neraka? Renung-renungkanlah

Ma shaa Allah.. Semoga ada kebaikan dan hikmah yang tersembunyi di sebalik mimpiku.. Semoga bermanfaat juga kepada semua yang membaca.. 


 ~~serikandi~~

Tuesday, October 10, 2023

Mengapa Perlu Peduli Palestin?



بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Apabila anak kita bertanya, 
"Mengapa kita memberikan perhatian kepada PALESTIN dan selalu mengikuti isu semasa di Baitul Maqdis?"

Apa jawapan kita? 

Ceritakan kepada anak kita:
Wahai anakku, sesungguhnya PALESTIN adalah tempat tinggal para Nabi.

🇵🇸 Nabi kita Ibrahim عليه السلام hijrah ke PALESTIN.

🇵🇸 Nabi Lut عليه السلام diselamatkan oleh Allah dari azab yang turun pada kaumnya menuju bumi yang diberkati, iaitu bumi PALESTIN.

🇵🇸 Nabi Daud عليه السلام tinggal di PALESTIN dan membangun mihrabnya.

🇵🇸 Dan Nabi Sulaiman عليه السلام memerintah seluruh dunia dari PALESTIN, kisahnya yang popular berkaitan semut yangg berkata, “Hai semut, masuklah ke tempat tinggal kalian.” Tempat yang disebut dengan wadi an-Naml (lembah semut) itu terletak di PALESTIN dekat (‘Athqalan).

🇵🇸 Di PALESTIN juga, terdapat mihrab Zakaria عليه السلام, sebagaimana Musa عليه السلام meminta kaumnya memasuki Bumi Muqaddasah, beliau menamakan dengan al-Muqaddasah, iaitu (suci) dari syirik, dan dijadikan tempat tinggal para Nabi.

🇵🇸 Banyak mukjizat yang terjadi di dalamnya, di antaranya kelahiran Nabi 'Isa عليه السلام dari ibunya Maryam, seorang gadis tanpa suami, dan Allah mengangkatnya ketika Bani Israil sepakat untuk membunuhnya.

🇵🇸 Di PALESTIN, Maryam  menggoyang batang pohon kurma setelah kelahirannya dalam keadaan paling lemahnya wanita.

🇵🇸 Termasuk tanda-tanda akhir zaman di PALESTIN, Nabi 'Isa عليه السلام akan turun di menara putih Syria, dan akan membunuh Dajjal di gerbang Lod PALESTIN, serta banyak cerita lain yang pernah terjadi di PALESTIN, di antaranya kisah Talut dan Jalut.

1. Anak kita bertanya: 
“Bagaimana dengan Nabi Muhammad ﷺ dan hubungannya dengan PALESTIN?”

Jawab: 
“Dulu kiblat pada awal diperintahkannya solat adalah menghadap ke PALESTIN, dan ketika Nabi hijrah ke Madinah, Malaikat Jibril turun dan baginda sedang solat, Jibril memerintahkan untuk mengubah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah al-Mukarramah lalu masjid tempat baginda solat dinamakan masjid Dzulqiblatain (dua kiblat).”

🇵🇸 Demikian juga ketika Rasulullah ﷺ melakukan Isra’, baginda pergi ke Baitul Maqdis sebelum Mi’raj ke langit. Inilah terminal pertama baginda berhenti setelah berangkat dari Mekah sebelum menuju ke langit, dan baginda menjadi imam solat para Nabi.

🇵🇸 Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah: “Masjid mana yang pertama kali diletakkan oleh Allah di muka bumi?” Baginda menjawab, “Masjidil Haram.” Aku bertanya lagi, “Kemudian masjid mana?” Baginda menjawab, “Masjidil Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak antara keduanya?” Baginda menjawab, “Empat puluh tahun.” Kemudian baginda bersabda, “Di manapun solat menjumpaimu, maka solatlah dan bumi bagi kalian adalah masjid.”

🇵🇸"Wahai anakku, Apakah kamu tahu bahawa Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu 'anhu meskipun sibuk dengan masalah kemurtadan orang-orang Arab di Jazirah Arab dengan menyediakan pasukan untuk memerangi mereka agar kembali kepada Islam yang benar, beliau tidak membatalkan pasukan yang diperintahkan Nabi untuk pergi ke Syam, meskipun memerlukan kekuatan untuk mengembalikan kestabilan Jazirah.

🇵🇸 Apakah kamu tahu masa keemasan penaklukan Islam di masa Umar al-Faruq radhiyallahu ‘anhu, beliau tidak pernah keluar dari Madinah untuk merayakan penaklukan (pembukaan) negeri kecuali PALESTIN, beliau pergi ke sana sendiri dan membukanya dengan damai, solat di dalamnya dan menerima kunci untuk menyelamatkan orang-orang Nasrani dari penindasan orang-orang Rom saat itu.

🇵🇸 Kemudian dibuka lagi oleh Salahuddin al-Ayyubi di hari bersejarah tahun 583 H hari Jumaat bertepatan dengan tanggal 27 Rajab, tanggal yang sama dengan malam Mi’rajnya Nabi ke langit melalui Baitul Maqdis. Ini merupakan fakta yang ajaib yang mana Allah memudahkan pengembalian al-Quds kepada pemiliknya sama seperti waktu Isra’ dan Mi’raj."

2. Anak kita bertanya lagi: 
“Kenapa dinamakan dengan Baitul Maqdis?”

Jawab: 
“Nama ini telah ada sebelum turunnya al-Quran, ketika al-Quran diturunkan, ia disebut Masjid al-Aqsa, dan dinamakan Baitul Maqdis kerana kesuciannya yang istimewa.

Oleh kerana itu, tanah PALESTIN dan Syam adalah tanah Ribat, telah syahid di dalamnya 5000 dari kalangan para sahabat mulia, mereka bersemangat untuk membuka Baitul Maqdis dan membebaskannya daripada penindasan Rom. Para syuhada’ masih berguguran sampai hari ini, inilah tanah para syuhada’ dan tanah ribat.”

3. Anak kita berkata: 
"Jadi, pentingnya Masjid al-Aqsa dan bumi Syam seperti pentingnya Haramain, Mekah dan Madinah?”

Jawab: 
“Ya, anakku. Allah ﷻ mengumpulkan keduanya dalam firman-Nya, *“Demi buah Tin dan buah Zaitun. Dan demi bukit Sinai. Dan demi kota Mekah ini yang aman*.” (At-Tin: 1-3)

🇵🇸 Ibnu Abbas berkata: "At-Tin adalah negeri Syam, az-Zaitun negeri PALESTIN, bukit Sinai adalah gunung di mana Allah berbicara kepada Musa عليه السلام di Mesir, dan al-Balad al-Amin adalah Mekah al-Mukarramah."

🇵🇸 Allah ﷻ berfirman: “Dan sungguh kami telah tetapkan dalam kitab-kitab setelah dicatat di Lauh Mahfuzh bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.” (Al-Anbiya’: 105)

4. Anak kita berkata: 
“Sekarang saya faham pentingnya PALESTIN dan Masjid al-Aqsa, sebagaimana saya faham bahawa solat di dalamnya dilipatgandakan menjadi 500 kali ganda, apakah ini benar?”

Jawab: 
“Ya nak, itu benar, dan jangan kamu lupakan anak-anak PALESTIN dan penduduknya dari doamu. Semoga Allah memberkatimu nak.”

Footnote: This is not my writing. Credit to the original writer

Semoga Allah sentiasa memberkati, merahmati dan melindungi saudara-saudara kita di PALESTIN.

#israelcuak
#freepalestine


 ~~serikandi~~

Tuesday, June 6, 2023

Nukilan Ayah - Pengembaraan Yang Dilupakan

بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 

Bahtera yang terus berlayar....

Setelah 41 tahun berlayar sejak 15hb April 1982, bahtera ini masih kukuh dan utuh. Berbagai ombak dan badai telah ditempuh. Ribut dan petir yang menghalang telah berjaya ditumpaskan. 

Alhamdulillah... Terima kasih Ya Allah kerana telah  memberikan kami ujian yang mampu kami hadapi dengan penuh kesabaran.

Ujian pertama bermula ketika di awal pelayaran. Ayahku hampir bergaduh dengan besannya berpunca dari barang niaga yang kami tinggalkan selepas berhijrah ke KL. Akhirnya reda setelah kedua-dua pihak mengabaikan perselisihan tersebut.
Masalah kecil jangan dibesarkan.

Ujian seterusnya bermula apabila kami mula tiba di Sungai Pencala dan menyewa rumah berhampiran kebun getah. Penceroboh telah memasuki rumah kami pada suatu malam. Sehingga kami terpaksa pindah dan buat laporan polis.  Kami bernasib baik ada kawan yang sudi menumpangkan kami beberapa hari sehingga dapat rumah sewa yang lain. Mereka adalah pelajar asing dari luar negeri. Terima kasih pasangan suami isteri dari Singapura dan Australia pelajar UIA. Pentingnya ada kenalan di saat genting.

Keadaan kami agak tenang sehingga kami mula berpindah ke Bandar Tun Razak. Keadaan ekonomi agak merosot apabila tanggungan bertambah sedangkan punca pendapatan tidak meningkat. Kesannya kami sering bergaduh sehingga satu ketika secara sedar satu tamparan kasar telah hinggap ke tubuh isteriku. Ini adalah tamparan pertama dan terakhir setelah kami bergaduh. 

Selepas itu dengan izin Allah rezeki kami mula berubah selepas beberapa usaha dilakukan. Isteri aku mula buat jualan terus dari pintu ke pintu menjual pinggan mangkuk bayaran ansuran macam warga Pakistan buat sekarang. Malam kami berniaga nasi ayam. Selepas itu kami dapat tempat buat potostat di matrikulasi UIA.

Keadaan ekonomi kami benar-benar telah berubah. Kami dah boleh beli van terpakai untuk kegunaan semua urusan kami. Benar janji Allah. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya.

Siri seterusnya. 
Siapa gadis Kerinci ujian untuk kami.


 ~~Zainudin Abd Hamid~~

Thursday, April 13, 2023

Palestin Menangis



بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Lantaran jeritan yang tak terdengarkan
Dek sengaja dipekak buta dan tulikan
Lewat tulisan ini aku bingkiskan
Nukilan lara jiwa dan perasaan
Kisah cinta kasih dan kemanusiaan
Hempedu derita berkuah manisan iman

Berteleku aku di hamparan sejadah
Memula kata dengan Bismillah
Melafaz kalimah indah janji-janji Allah
Karya agung penuh hikmah dan hidayah
Amat benarlah firman Kalamullah
Pahit mujahadah disaji syurga indah

Siapa kita untuk menafikan sengsara
Memejam mata menidakkan hak mereka
Kedangkalan dunia menjangkaui kemuncaknya
Kebiadaban manusia memakan sesama manusia
Ke mana hilang norma moraliti kita
Tatkala saudara terhenyak di sudut dunia?

Andaikan Nabi Muhammad sedang melihat
Sedih kesal kecewa terkilannya pasti tak terubat
Baginda hanya risaukan kita sebelum wafat
Membekalkan kita dua amanat
Al-Quran dan As-Sunnah yang hebat
Mengajar kita agar saling menghormat
Bukan bermusuhan berpaling taat
Alangkah malunya sekalian ummat

Allahu Ya Rabbul Izzati
Wahai Zat yang Maha Mengampuni
Sudilah kiranya Kau maafkan kami
Hamba-Mu yang lupa pada janji sendiri
Bahawa amanah itu di tangan ini
Sebagai khalifah di muka bumi
Mempertahankan agama dan saudara seagama kami 

~ Tak perlu jadi seorang Palestina untuk mengerti. 
Cukup sekadar memiliki sekeping hati. Hati yang tak mati ~

#israelcuak
#freepalestine


 ~~serikandi~~

Tuesday, April 11, 2023

Nukilan Ayah (7)


بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Pengembaraan Yang Dilupakan......

Sejarah yang berulang.....

Setiap detik yang berlalu adalah sejarah. Samada ia berlaku 60 tahun yang lalu atau sejam yang lalu. Semua peristiwa yang telah berlalu, pasti tidak dapat diundurkan semula. Ia telah menjadi sejarah.

Jika ia adalah peristiwa indah, pasti akan kekal dalam memori. Jika ia adalah peristiwa hitam, pasti jejaknya pun akan cuba dipadam.

Di sini aku akan menceritakan sebuah kisah indah yang telah berulang kembali setelah ia berlaku lebih dari 60 tahun yang lalu.

60 tahun lalu aku telah dibesarkan oleh tok Melah dan tokwan Jen sehingga berusia 15 tahun sebelum kembali tinggal bersama mak dan ayah aku semula.

Sekarang selepas 60 tahun berlalu, setelah tok, tokwan dan ibu bapaku dah tiada, aku kembali mengulangi sejarah untuk membesarkan seorang cucu bersama kami.

Namanya Muhammad Faqehudin. Di sini aku menulis J. Din (junior). Manakala W. Din (wan) adalah aku. Kami mula menjaga J. Din sejak lahir sehingga kini berumur 6 tahun. Manakala aku W. Din 61 thn. 

Saat ini adalah masa paling indah, apabila Allah SWT memperlihatkan pada aku satu persatu detik-detik seorang datuk dan nenek membesarkan seorang cucu. Sudah pasti aku terbayangkan bagaimana W. Din dibesarkan oleh tok Melah dan tok Jen. 

J. Din sentiasa ingin tidur di tengah-tengah antara kami. Terlalu manja dengan tok, mengalahkan ibunya. Manakala W.Din pasti akan mudah mengikut apa saja kemahuan J. Din yang baik. 

Begitu juga bila J. Din ditimpa ujian kena patuk ular semasa dia berumur 2 tahun.  Maka yang terasa perit merawatnya ke hospital selama beberapa bulan adalah tok dan wan. 

Begitulah layanan tok dan tokwan dengan cucunya macam aku dulu-dulu. Kepada yang belum bergelar tok dan tokwan bersabar dulu sebelum anda menyalahkan mereka kerana memanjakan cucu.

Syukur Allah SWT memperlihatkan kembali kisah silam aku bersama tok Melah dan Tokwan Jen. Semoga kita semua akan dikumpulkan semula di Jannah nanti.

Dan aku mula membayangkan betapa kenangan indah itu adalah amalan-amalanku yang baik yang ingin aku bawa sebagai bekal ke akhirat nanti. Dan segala kenangan gelap ingin aku padamkan dari kitab amalku. 

Aku mulai takut, aku akan menyesal di sana kerana aku telah mensia-siakan segala peluang yang Allah SWT telah berikan selama ini.

Kerana di akhirat nanti semua orang akan menyesal bila melihat apa yang Allah SWT sediakan untuk segala amalan baik tersebut. "Kenapa aku tidak lakukan itu dan kenapa aku tidak lakukan lebih baik dari itu".


-Zainudin Abd Hamid-