Thursday, June 18, 2020

Ingin Menjadi Hamba Yang Dicintai Allah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

In shaa Allah pada hari ini saya cuba kongsikan tentang siapakah hamba-hamba yang paling dicintai Allah.


Pertama : Orang yang berbuat kebaikan.

Allah berfirman : 
“Innallaha yuhibbul muhsiniin”  
Sesungguhnya Allah mencintai orang orang yang berbuat kebaikan. (al Baqarah 195).

Allah juga berfirman : 
“Walllahu yuhibbul muhsiniin”  
Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. (al Maidah 13)

Kedua : Orang yang bertaubat dan menyucikan diri.

Allah berfirman : 
“Innallaha yuhibbut tawwaabiina wa yuhibbul mutathahhiriin” 
Sesungguhnya Allah mencintai orang yang taubat dan orang yang menyucikan diri. (Al Baqarah 222).

Ketiga : Orang yang bersabar.

Allah berfirman : 
“Innallaha ma'as sobiriin” 
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar (Al Baqarah 153)

Allah juga berfirman :
“Wallahu ma'as sobiriin” 
Dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar (Al Baqarah 249)

Keempat : Orang yang bertakwa.

Allah berfirman : 
“Fa innallaha yuhibbul muttaqiin” 
Maka sesungguhnya Allah mencintai orang orang yang bertakwa. (Ali Imran 76)

Allah juga berfirman : 
“Innallaha yuhibbul muttaqiin” 
Sesungguhnya Allah mencintai orang orang yang bertakwa (at Taubah 4 dan 7).

Kelima : Orang bertawakkal

Allah berfirman : 
Innallaha yuhibbul mutawakkiliin” 
Sesungguhnya Allah mencintai orang orang yang bertawakkal (Ali Imran 159).

Keenam : Orang yang berlaku adil

Allah berfirman :
Innallaha yuhibbul muqsithiin” 
Sesungguhnya Allah mencintai orang orang yang berlaku adil. (Al Maidah 42, al Hujuurat 9 dan al Mumtahanah 8). 

Ketujuh : Orang yang berjuang di jalan Allah

Allah berfirman : 
“Innallaha yuhibbul ladziina yuqaatiluuna fii sabilillahi shaffan ka-annahum bun-yanun marshush” 
Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seolah-olah seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (ash Shaff 4).  

Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang mendapat redhaan dan paling dicintai-Nya. In shaa Allah

~~serikandi~~

Tuesday, June 16, 2020

Nukilan Ayah (11)


PERJUANGAN GENERASI

Setiap orang akan menempuh fasa perjuangan dalam hidup. Syukur aku dapat mendengar, melihat dan merasai fasa perjuangan 5 generasi aku. Dan jika dipanjangkan umur mungkin generasi ke 6 & 7 pun sempat aku lihat. In shaa Allah.

Generasi pertama, tok wan aku berjuang zaman sebelum merdeka. Zaman Jepun, beliau antara kumpulan tahanan Jepun untuk menjadi buruh paksa membina jambatan maut di Burma. Dengan kepintaran perjuangannya beliau berjaya melarikan diri dan balik ke Tanah Melayu dari Burma dengan berjalan kaki. Sedangkan ramai sahabatnya yang meninggal dunia di sana ketika itu. 

Generasi kedua, zaman ayah aku, zaman mengisi kemerdekaan. Ayah aku adalah antara peneroka peringkat awal membangunkan belantara Pahang untuk pembangunan negara. Perjuangan di peringkat awal memang perit. Ramai yang kalah dan lari balik kampung semula. Ketika itu semua kemudahan asas tak ada di kawasan pedalaman Pahang. Namun akhirnya perjuagan mereka berjaya untuk mengisi kemerdekaan negara.

Generasi ketiga, aku. Generasi yang hadir untuk pembangunan negara. Zaman aku adalah zaman Mahathir. Tapi aku memilih untuk berjuang dalam dakwah. Zaman dakwah peringkat awal, penghujung 70an. Ada Al Arqam, Abim, Tabligh, Pas, Nasrul Haq dan perbagai aliran pondok. Perjuangan kami berjaya mengimbangkan perjuangan kebendaan dunia ketika itu. Sebahagian pejuang kami dipanggil orang dakwah, walaupun terpaksa berhijrah ke Jamaah lain setelah jamaah mereka diharamkan. 

Generasi keempat, anak2 aku. Generasi kelima cucu-cucu aku dan seterusnya. Sama-sama kita saksikan perjuangan mereka. Pesan tok nenek jadilah pejuang di zaman kamu. Jangan jadi talibarut menentang perjuangan. Kamu akan dinilai oleh keturunan kamu nanti.


-Zainudin Abd Hamid-

Nukilan Ayah (10)


PENGALAMAN UMRAH PERTAMA

Beberapa tahun lepas, Allah swt memberi peluang untuk tok dan wan mengerjakan umrah. Peluang tersebut memang tidak disia-siakan walau beberapa halangan wujud sehingga tertunda ke tahun berikutnya. 

Tahun pertama dirancang, graf perniagaan sedang menjunam. Kemudian diuji dengan kehilangan pelaburan rm100 ribu dalam koperasi. Peringatannya, jangan simpan semua telor dalam satu bakul. 

Walau bagaimanapun, dengan keazaman yang kuat dan dengan jemputan Illahi maka sampai juga kami menunaikan umrah dengan membawa bekal rm1000 seorang. Alhamdulillah. Pengajarannya, bukan duit penentu segalanya. Hanya izin Allah swt penentunya.

Akhirnya sampai kami ke Madinah. Di sini satu ujian berlaku apabila wan tercicir duit beberapa ratus di Masjid Nabi. Terus wan mengadu pada Allah. "Ya Allah aku hanya membawa duit sekadarnya, sekarang Kau uji aku pula. Maka cukupkanlah keperluan aku, sehinggalah aku balik". 

Mulai saat itu wan terus berbelanja  tanpa mengira baki lagi sehingga tok tanya duit wan banyak lagi ke? Semuanya cukup dan berbaki rm200 saat nak balik. Barang yang dibeli juga cukup untuk semua anak, ibu bapa, adik beradik dan 4 orang pembantu kantin dan bersedekah.

Di Mekah pula ada satu ujian berlaku pada sahabat wan. Wang yang dibawanya hampir tak dapat dibelanjakan langsung. Ini berlaku gara-gara dia ditakut-takutkan untuk bersedekah oleh seorang kenalan semasa di Malaysia. 

Akhirnya sampai hari terakhir di Mekah satu ringgit pun dia tak dapat bersekekah, padahal pahalanya beribu kali ganda. Melihat keadaan tersebut wan keluarkan duit wan beberapa ringgit, beri pada dia untuk sedekah. 

Pesan tok nenek baiki semua niat sebelum tiba di Mekah. Di sana Allah selalu bayar tunai apa yang terdetik di hati.


-Zainudin Abd Hamid-


Monday, June 15, 2020

Nukilan Ayah (9)


PESAN TOK NENEK...... Jaga hubungan adik beradik.

Syukur Allah swt memberi aku kesempatan untuk menyaksikan siri 2 keluarga sehingga ke akhir episod. Satu keluarga miskin dan satu keluarga kaya.

Keluarga miskin ini mempunyai 8 anak. Bendang ada satu relong. Pendapatan keluarga dari hasil sawah dan mengambil upah kerja sawah. Kais pagi, makan pagi, esok belum tentu lagi. Tapi anak-anak beradab. Menyedari mereka miskin, tolak ansur adik beradik cukup tinggi. 

Apabila ibu bapa mereka meninggal dunia, tanah yang serelong tadi nak dibahagi 8 tak boleh sebab terlalu kecil. Akhirnya mereka membuat giliran satu musim padi hanya seorang yang usahakan. Bermakna untuk dapat giliran, masing-masing terpaksa menunggu 4 tahun. Hubungan adik beradik harmoni sampai sekarang. Semua adik beradik tidak kaya dan bekerja sendiri sahaja.

Sekarang keluarga kedua pula. Mempunyai anak tujuh orang. Ada tanah sawah yang banyak. Antara keluarga terkaya di situ. Manakala anak-anak hampir semua berjaya. Ada yang bekerja kerajaan dan jadi usahawan yang berjaya.

Bila ibu bapa meninggal, mula berlaku perebutan harta sehingga berlaku saman menyaman adik beradik. Akhirnya silaturahim adik beradik berantakan. Terakhir disaksikan tanah dan rumah peninggalan ibu bapa terjual pada orang luar. Anak cucu ditimpa musibah. Bila kaya manusia sering bersifat tamak. Berbanding miskin mudah bertolak ansur.

Pesan tok nenek, jagalah hubungan adik beradik kerana kita tak tahu siapa yang akan menarik kita dari neraka dan membimbing kita ke syurga. Sepertimana kita tak tahu amalan kita yang mana diterima Allah swt. Yang pasti kita akan dibangkitkan bersama orang2 yang kita sayangi. Jangan semai kebencian.....


-Zainudin Abd Hamid-


Nukilan Ayah (8)


PESAN TOK NENEK....... Jodoh tak pernah tersalah alamat bila tiba waktunya.

Di Perlis. Setelah tamat SPM, Che Mah mula bekerja sementara di Kangar. Bila keadaan tak menggembirakan, dia berhenti kerja. Sampai satu ketika ada saudara dari Pahang balik Perlis dan memberitahu ada kerja kosong di sana. Che Mah tergerak hati untuk merantau melihat tempat orang. Maka bermulalah perantauan yang menemukan takdir Allah swt. Cik Mah mula bekerja di kantin Pak Mid.

Di Pahang. Selepas tamat SPM Cik Din terus masuk pondok Al Arqam beberapa bulan sehingga dapat tawaran sambung belajar di IKBN Dusun Tua, Selangor. Di situ Cik Din megikuti usrah Al Arqam bersama teman rapatnya Kamarudin. Ketika hampir tamat pengajian di situ, Cik Din menghantar wakil merisik ketua usrah wanita, Cik Rokayah. Pak Mid dan Mak Teh Midah serta anak angkatnya Cik Mah menjadi wakil bertemu Rokayah.

Setelah tamat pengajian Cik Din balik kampung bersama teman rapatnya Kamarudin. Semua orang bekerja dengan Pak Mid sebagai pembantu kantin. Di sinilah bermulanya pertemuan Che Mah dan Kamarudin. Hubungan mereka mendapat restu semua orang. Akhirnya Kamarudin menghantar wakil untuk meminang Che Mah di Perlis.

Wakil disambut dengan penuh kemesraan. Tapi keputusan penerimaannya tertangguh. Akhirnya dengan sedih dimaklumkan pinangan tersebut ditolak kerana faktor negeri Terengganu yang jauh dari Perlis untuk melepaskan anak kesayangan berjauhan dari ibu bapa.

Maka baliklah Kamarudin ke Terangganu dengan penuh kekecewaan. Sementara itu Cik Din juga mendapat keputusan merisik yang dibuat tempohari. Keputusannya semua keluarga TAK bersetuju. Alasan yang sama juga kerana Rokayah berasal dari Sarawak. Sukar untuk melepaskan anak dan cucu kesayangan keluarga ke Pahang.

Maka bermulalah pencarian menantu Pak Mid. Beberapa tempat dijelajahi bersama anak angkatnya, Che Mah tapi semuanya tak bekenan. Sehingga akhirnya terbuka pintu hati Pak Mid kepada anak angkatnya Che Mah. Masalahnya Cik Din dan Che Mah yang tak pernah menyimpan perasaan terhadap satu sama lain. 

Bagaimana pun kami reda bila kedua ibu bapa bersetuju. Inilah kelebihannya bila anak kesayangan mentaati ibu bapa. Perkahwinan kami mendapat barokah dan bahagia dengan 5 orang cahayamata walau tak sempat bercinta sebelum kawin.

Kamarudin pula akhirnya berjodohan dengan Rokayah. Dia sekarang menjadi usahawan restoran kambing bakar. Manakala Rokayah pula menjadi guru takmir (guru agama Majlis Agama Islam Sarawak).

Pesan tok nenek. Jodoh tidak pernah salah alamat dan masa. Carilah keberkatan dalam hidup niscaya kamu akan aman di dunia dan akhirat.


- Zainudin Abd Hamid -


Nukilan Ayah (7)


PESAN TOK NENEK.......Pengaruh SAJAK 2


BILA NANTI KAU BESAR ANAKKU ........

Bila nanti kau besar anakku
Bicaralah yang baik-baik 
Biar senang hati ayah
Biar senang hati ibu

Bila nanti kau besar anakku
Cita-cita biar mencecah langit
Jangan setapak pun kau mengalah
Sebelum sayangku berjuang
Kerana setapak langkah sumbang
Seribu tahun padi sambang
Seabad bumi gersang

Bila nanti kau besar anakku
Warnailah layarmu dengan warna-warna indah
Membiru
Memutih
Damai dan bersih

Jangan sekali kau calitkan
Warna hitam di layarmu
Kerana yang sekali itu
Bisa mencacatkan birumu
Bisa mencacatkan putihmu
Peganglah sayang
Pegang pesan ayah
Pegang pesan ibu
Demi Tuhan
Demi ayah dan ibu

Bila nanti kau besar anakku
Jangan lupa ayah
Jangan lupa ibu 
Yang sedang beradu
Taburilah ia dengan bunga- bunga doa
Biar sejuk ayah
Biar sejuk ibu.........

-Terbitan Dewan Sastera DBP.-

Sajak ini aku gantungkan di dinding bilik anak- anakku selama beberapa tahun supaya mereka dapat menghayati. Alhamdulillah kesannya amat baik untuk membara semangat mereka tika dirundung kekecewaan dan ujian.

Pesan tok nenek, kutiplah walaupun di mana kamu temui serpihan-serpihan mutiara yang berselerakan.


-Zainudin Abd Hamid-


Nukilan Ayah (6)


PESAN TOK NENEK........Pengaruh SAJAK 1


DUNIA TEMPAT MENANAM.

Kalau engkau sedari akan mati
Engkau akan berusaha hidup untuknya
Jika engkau tahu akhirat itu abadi tidak ada usaha lagi
Niscaya engkau akan berusaha di dunia ini
Di sana kamu makan hasilnya

Jika engkau sedari mati itu datangnya tiba-tiba
Nescaya urusan Tuhanmu tidak ada penangguhannya
Jika kamu belum tahu apakah syurga atau neraka tempatmu
Nescaya tidak ada masa untuk kamu ketawa
Nescaya kamu akan bermandi dengan airmata

Jika kamu kenal dengan dirimu sendiri
Tidak akan sempat kamu melihat kesalahan orang lain
Betapa pula untuk menceritakanya

Jika kamu tahu tiap yang haram itu neraka padahnya
Yang halal itu akan diperiksa
Niscaya kamu akan berzuhud di dunia ini

Jika kamu tahu penderitaan akhirat
Niscaya penderitaan didunia ini tidak akan menyusahkan kamu
Jika kamu tahu betapa nikmatnya syurga itu
Kamu tidak akan terpesona dengan nikmat dunia ini.

-Terbitan Shoutul Arqam.-

Inilah antara sajak yang banyak mempengaruhi keperibadian aku sejak mengenali gerakan dakwah. Walaupun pengaruhnya seringkali meluntur apabila kebendaan sering menipu daya. Tetapi bila ujian demi ujian datang ia akan kembali menginsafkan, dan segera bermuhasabah.

Pesan tok nenek, hanya orang yang disayangi Allah sahaja akan diberi ujian untuk meningkatkan darjat seseorang.


-Zainudin Abd Hamid-


Nukilan Ayah (5)


PESAN TOK NENEK.....8 PELAJARAN DARIPADA 4 KITAB.

Setelah belajar selama 33 tahun maka bertanyalah seorang guru kepada muridnya.

Syaqiq Al Balakhi:
"Apakah yang telah engkau pelajari daripadaku selama ini ?"

Jawab Hatim Al Asham:
"Delapan perkara"

Maka berkata Syaqiq dengan terperanjat:
"Innalillah hiwanna ilai hiraaji'un !! Terbuang sahaja umurku bersama kamu kerana tidak engkau pelajari kecuali lapan perkara sahaja. Terangkan lapan perkara tersebut supaya aku dengar".

Hatim Al Asham berkata:

PERTAMA:  
Aku melihat makhluk ini, maka aku dapati setiap mereka mempunyai orang yang disayangi, tetapi tiada yang kekal menemaninya hingga ke kubur, melainkan amal solehnya. Maka aku mengambil AMAL SOLEH  menjadi kekasihku agar ia kelak menjadi teman dan menghiburkan aku ketika sendirian di kubur.

KEDUA:
Ku lihat makhluk ini mudah sekali menurut kehendak nafsunya. Maka aku perhatikan Firman Allah swt: "Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya" Al Naaziaat 40-41. Dan aku yakin Al Quran itu benar. Maka segeralah aku berjihad MELAWAN NAFSUKU sehingga ia menyerah dan taatkan Allah swt.

KETIGA:
Aku dapati kebanyakan orang bekerja keras mengumpul harta, kemudian disimpannya dengan bakhil sekali. Maka aku renung Firman Allah swt: "Apa yang ada padamu akan hilang lenyap dan apa yang ada pada sisi Allah swt akan kekal selama-lamanya" Al Nahl 96. Maka aku keluarkan hartaku dan ku hadapkan ke jalan Allah swt. Semoga ia menjadi SIMPANANKU yang kekal sisi Allah swt.

KEEMPAT:
Ku lihat sebahagian dari makhluk ini menyangka kemulian itu terletak pada keturunan, harta, pangkat atau anak-anaknya. Mereka megah dan sombong dengannya. Maka ku dalami Firman Allah swt "Bahawasanya yang terbaik dari kamu di sisi Allah swt ialah yang lebih taqwanya" Al Hujurat 13. Maka aku pilih TAQWA tersebut, yang lain dari itu adalah kepalsuan semata-mata.

KELIMA:
Ku lihat manusia ini suka mengumpat dan mencela, semuanya adalah berpunca dari sifat kedengkian. Maka ku teliti Firman Allah swt "Kamilah yang membahagi-bahagikan penghidupan di antara mereka dalam kehidupan dunia ini" Az Zukhruf 32. Maka tahulah aku bahawa pembahagian itu sejak azali lagi. Maka ku TINGGALKAN DENGKI itu dan reda'lah aku dengan semua pembahagian Allah swt tersebut.

KEENAM:
Ku lihat manusia ini suka bermusuhan dengan berbagai sebab. Maka ku renung Firman Allah swt "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu, maka pandanglah ia sebagai musuh" Al Fatir 6. Maka tahulah aku SYAITAN  sahajalah musuhku dan kutinggalkan permusuhan dengan makhluk lainnya.

KETUJUH:
Ku dapati manusia ini terlalu mngejar kepada dunia sehingga jatuh pada yang haram. Maka ku teliti Firman Allah swt "Dan tidak ada seauatu pun yang melata di atas muka bumi ini yang tidak dijamin rezekinya oleh Allah swt" Hud 6. Maka tahulah aku jaminan rezeki itu ditangan Allah swt jua. Maka ku jaga ibadatku padaNya dan ku PUTUSKAN TAMAKKU selain dari itu.

KELAPAN:
Ku lihat setiap orang bersandar kepada makhluk samada kebendaan atau kesihatannya. Maka kudalami Firman Allah swt " Dan barangsiapa menyandarkan dirinya kepada Allah swt, maka Allah swt mencukupkan keperluannya" At-Thalaq 3. Maka BERTAWAKKALLAH aku kepadaNya kerana Dialah sahaja yang mampu menyampaikan segala hajatku.

Maka berkatalah gurunya kepada Hatim:
"Semoga Allah swt memberi taufik padamu, barangsiapa yang beramal dengan DELAPAN perkara tersebut, seolah-olah dia telah beramal dengan empat buah kitab Allah swt".


Petikan dari Ihya' Ulumiddin.


-Zainudin Abd Hamid -


Nukilan Ayah (4)


PESAN TOK NENEK...ANDAI MASA DAPAT DAPAT DIPUTAR 

Andai masa dapat diputar semula, aku ingin agar anak-anakku semuanya mendapat hidayah. Aku mahu semua anak-anakku menjaga solat lima waktunya. Aku berharap salah seorang darinya menjadi hafiz. Maka sudah pasti aku akan memilih jalan yang dapat membawa mereka ke syurga.

Jika masa dapat diputar semula aku akan pastikan kedua ibu bapaku mendapat layanan diraja sepanjang masa mereka bersamaku. Aku mahu saat sakaratul maut menjemput mereka, aku berada di samping mereka dan dapat mengajar kalimah sahadah.

Jika masa dapat diputar semula aku akan pastikan semua tuntutan solat, puasa dan hak-hak saudara maraku ditunai sepenuhnya agar tidak menjadi tuntutan di akhirat.

Begitulah yang dialami oleh seorang sahabat Rasulullah saw. Sya'ban ra. Selepas kewafatan beliau, isteri Sya'ban telah bertanya kepada Rasulullah saw.

"Ya Rasulullah saw ada sesuatu yang menjadi tanda tanya bagi kami semua, iaitu menjelang kematiannya dia berteriak tiga kali dengan setiap teriakan disertai satu pertanyaan. Kami tidak faham apakah maksudnya".

" Apakah pertanyaan yang diucapkannya?" tanya Rasulullah saw.

Setiap teriakannya dia mengucapkan:

"Aduuuh kenapa tidak lebih jauh.......?"

"Aduuuh kenapa tidak yang baru.......?"

"Aduuuh kenapa tidak semuanya......?"

Nabi saw pun bersabda ayat yang terdapat dalam surah Al-Qaaf ayat 22.

"Sesungguhnya kamu berada dalam kelalaian dari (hal) ini, maka Kami singkapkan dari kamu hijab matamu, maka penglihatan kamu pada hari itu amat tajam"

"Aduuuh kenapa tidak lebih jauh.......?"

Timbul penyesalan dalam diri beliau, mengapa rumahnya tidak lebih jauh supaya memperolehi pahala yang lebih besar dan syurga yang lebih indah.

"Aduuuh kenapa tidak yang baru.......?"

Sya'ban telah bersedekah dengan baju yang lama kepada seorang fakir. Beliau melihat indahnya syurga sebagai balasan. Jika baju baru tentu ganjarannya lebih besar.

"Aduuuh kenapa tidak semuanya.......?"

Sya'ban telah bersedekah pada  seorang penggemis separuh dari sarapan paginya ia itu setengah gelas susu dan separuh dari rotinya. Seandainya jika dia memberi semuanya pasti dia akan mandapat syurga yang lebih indah.

Pesan tok nenek, ambillah kesempatan yang masih ada untuk memperbaiki apa yang telah terlepas.


- Zainudin Abd Hamid -


Nukilan Ayah (3)


~PESAN TOK NENEK...Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.... ~   
           

       Datuk aku meninggal pada umur 96 tahun. Meninggal jatuh tangga bukan kerana penyakit atau tua. Aku tinggal dengannya di kampung sejak kecil. Makanan hariannya sederhana. Ayam kampung sekali sekala. Daging bila raya atau kenduri. Tapi sambal belacan atau cili kering goreng dimakan hari-hari. Kami sihat, jarang kena penyakit. 

       Jiran sebelah pula ialah sepupu datuk aku. Kerja kerajaan, isteri berniaga kedai makan. Makanan mereka mewah. Umurnya 15 tahun lebih muda dari datuk aku. Tapi dia meninggal 20 tahun lebih awal dari datuk aku. Anak isteri hampir semua ada kencing manis dan kerosakan buah pinggang.                              

       Itu cerita pemakanan 40 tahun dulu. Hari ini amat menakutkan, makanan tersedia 24 jam. Ayam goreng, daging burger, teh tarik, minuman bergas adalah menu harian. Agak-agak orang yang makan bernafsu ini boleh sihat sampai umur bersara? Ingat pesan tok nenek perut itu adalah sarang penyakit. Makanlah untuk hidup kerana hidup kita adalah untuk ibadah.


- Zainudin Abd Hamid -

Nukilan Ayah (2)


~PESAN TOK NENEK...Jangan percaya bomoh sangat...~
                                   
       Sepupu aku telah disahkan menghidap kanser payudara. Suaminya kerja bagus, menetap di bandar, lulusan universiti tapi masih percaya pada bomoh. Mungkin kerana bomoh tersebut menawarkan rawatan Islam. Namun syarat rawatannya agak ganjil. Katanya kalau nak sembuh jangan beritahu orang lain tentang rawatan ini. 

       Lalu dirahsiakan rawatan tersebut hatta kepada ibunya sendiri. Sehinggalah keadaannya menjadi terlalu lemah, barulah keluarganya tahu dia sedang menghidap barah dan sudah terlambat kerana tidak dapat diselamatkan lagi. Akhirnya dia pergi menghadap Allah dengan barah yang telah pecah. 

       Lain pula dengan cerita sahabatku. Apabila doktor mengesahkan bahawa dia menghidap barah, terasa seolah-olah dijatuhkan hukuman mati. Namun kerana tahu dia tak pandai sangat, kerja kerani sahaja, duduk flat maka dia dengar segala nasihat doktor agar menghabiskan rawatan di hospital dahulu kemudian baru cuba rawatan altenatif. 

       Peringkat awal memang perit. Radioterapi, kimoterapi, kepala botak, kurus kering tak selera makan. Tetapi selepas 5 tahun doktor sahkan beliau bebas barah. Sekarang tinggal di kampung atas nasihat doktor dan hidup gembira bersama cucu-cucunya. Ingat pesan tok nenek jangan percaya bomoh sangat...


- Zainudin Abd Hamid -


Nukilan Ayah (1)


~PESAN TOK NENEK...Buat baik kena ikhlas...~
                            
       Ada sebuah kisah. Suatu hari seorang lelaki kaya merungut tentang sahabatnya yang terlalu marah padanya. Dia tidak faham mengapa. Sedangkan dia telah menolong sahabat yang hidup serba daif itu dalam hampir semua perkara sejak anak-anaknya lahir sehinggalah mereka berkahwin. Dari perbelanjaan pampers, susu, yuran sekolah sehinggalah kenduri kahwin. Begitu banyak telah disumbangkan kepada sahabatnya. 

       Memang yang memberi itu ikhlas pada awalnya untuk membantu keluarga sahabatnya yang miskin. Tetapi setelah lebih 20 tahun berlalu, si miskin tadi telah dilimpahi rezeki yang melimpah ruah dan anak-anaknya juga semuanya telah berjaya. Lalu si kaya itu beberapa kali mengingatkan tentang pertolongannya kepada mereka. Seolah-olah tanpa pertolongannya mereka tidak akan berjaya. 
  
       Rupanya pertolongan yang bermula dengan ikhlas itu berakhir dengan rasa dengki dan iri hati. Inilah puncanya yang menyebabkan sahabat itu terlalu marah kerana menganggap lelaki kaya itu membantu tanpa rasa ikhlas. 

       Di sini kita dapat lihat permainan syaitan untuk memecahbelahkan siratulrahim. Syaitan berjaya membatalkan pahala amalan kebaikan apabila kebaikan itu diungkit kembali atas dasar dengki dan iri hati. Syaitan juga gembira apabila siratulrahim terungkai kerana "hutang budi tidak dibawa mati".     

       Ingatlah pesan tok nenek, jadilah pohon yang berbakti walau dibaling batu, tetap dibalas dengan buah. Biar pohon merimbun (berilmu) dapat menaungi semua orang dan berbuah (diamalkan). Tetapi akhirnya hanya buah yang manis (ikhlas) yang bermanfaat. Buah yang masam pula sekadar dicampak ke tempat sampah.


- Zainudin Abd Hamid-


Nota Kehidupan Ayah (6)



~ NOTA KEHIDUPAN (Akhir) ~

       Cerita UIA ni bermula dari iklan jawatan kosong lagi. Nak mohon kerani, keputusan SPM aku tak cantik, sah mesti kalah. Jadi, aku mohon kerani rendah sebab SRP aku cantik. Percaturan aku mengena. Tapi gaji kerani rendah memang rendah. SPM RM 370.00 sebulan. SRP RM 300.00 saja. Setelah dua tahun berhidmat, jawatan kerani rendah pun dimansuhkan. Aku terus dinaikan ke jawatan kerani.

       Kami mula pindah ke rumah yang lebih baik setelah keadaan kewangan mengizinkan. Tapi masih tetap di Sg. Penchala. Selepas mendapat anak keempat, aku mendapat tawaran menduduki rumah DBKL. Abu Bakar pula membeli rumah di Selayang. Sejak itu kami mula berjauhan. Tambahan pula tempat kerja pun tidak sama lagi. Abu Bakar dipindahkan ke Pusat Matrikulasi Lembah Pantai. Aku masih di UIAM  Petaling Jaya.

       Sejak pindah ke Flat Sri Kota Bandar Tun Razak, aku bersama isteriku mula berniaga nasi ayam di gerai tetap bawah rumah kami. Cukup untuk menampung sara hidup kami. Setelah beberapa tahun berniaga, gerai tersebut  dirobohkan DBKL kerana tiada lesen. Selepas itu kami mula berniaga di UIAM pula.

       Setelah sekian lama bekerja di perpustakaan aku mula berasa bosan. Nak minta tukar jabatan lain tak boleh, sebab jawatan Pembantu Perpustakaan. Akhirnya selepas 11 tahun 11 bulan di situ aku mohon bercuti tanpa gaji selama 6 bulan untuk bekerja di Koperasi UIAM. Pemulaannya aku aku ditempatkan untuk mengurus kantin. Selepas itu menguruskan kedai-kedai runcit koperasi di UIAM Gombak. 

       Apabila UIAM berpindah ke Gombak, koperasi menyerah kembali pengendalian kantin kepada UIAM. Oleh sebab tendernya belum tamat, aku mencadangkan isteriku mengambil alih pengendalian tersebut. Maka bermulalah zaman keemasan kami. Perancangan Allah tu tepat. Sebab masa itulah anak-anak tengah belajar di kolej dan universiti. Memang memerlukan perbelanjaan yang besar.

       Setelah beberapa tahun berniaga, akhirnya aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja di UIAM. Sejak itu aku mula berniaga sepenuh masa bersama isteriku dan pembantu kami seramai 6 orang. Perniagaan bertambah maju. Pembaziran mula berlaku apabila aku menukar kenderaan beberapa kali. Dalam perkiraanku hampir 200 ribu ringgit duit telah dilaburkan di situ.

       Akhirnya setelah 10 tahun zaman keemasan berlalu, mendung mulai memayungi kami. Benar kata Hamka ujian itu datang secara berombongan, maka bersedialah kamu. Selepas separuh pelajar dipindahkan ke pusat matrikulasi baru di Nilai, perniagaan kami jatuh merudum. Selepas itu satu per satu dugaan datang bertalu. Aku hampir membatalkan umrah pertama kami pada tahun tersebut. Selepas balik dari umrah, isteriku disahkan ada jangkitan kanser payudara. 

       Selepas itu Pelaburan aku dalam koperasi Taqwa bernilai 100 ribu hangus apabila koperasi ditutup. Semua simpanan dalam ASB dan ASN telah habis dilaburkan ke situ. Selama 2 tahun terakhir berniaga semua simpanan kami hampir 100 ribu telah habis. Tambah pula dengan pinjaman 100 ribu dari duit insuran adik iparku. Semuanya habis gara-gara nak bertahan berniaga sehingga keadaan pulih. Akhirnya aku menyerah kalah setelah diisytihar muflis.

       Semuanya adalah ujian dari Allah swt. "Jangan kamu mengaku kamu beriman sedangkan kamu belum diuji......". Begitulah jadual Allah swt. Setelah dugaan demi dugaan berlalu, Dia anugerahkan anak-anak yang sempurna. Anak-anak belajar sehingga selesai konvo. Anak-anak dapat kerja bagus dan dapat pasangan yang baik. 

       Ujian-Nya hanyalah sedikit kekurangan harta di dunia. Firman Allah, "Jika kamu bersyukur niscaya Kami akan tambahkan lagi....." Ini bukanlah musibah,  sebab selepas itu Allah beri banyak lagi anugerah yang tak terhingga. Semua hutang dah selesai. Solat jemaah 5 waktu terjaga. Masa untuk kuliah agama sentiasa ada. Banyak kerja-kerja amal lain dapat dibuat.  Benarlah janji Allah, "Selepas tiap kesusahan pasti ada kesenangan......" Alhamdulillah. 


- Zainudin Abd Hamid -

~~serikandi~~

Nota Kehidupan Ayah (5)



~ NOTA KEHIDUPAN (5) ~

       Tiga bulan selepas kelahiran cahayamata sulungku, aku melihat iklan pengambilan pekerja baru sempena pembukaan UIAM dan Bank Islam Malaysia. Aku mencuba kedua-duanya. Dua minggu selepas itu aku mendapat panggilan temuduga UIAM. Dua minggu selepas temuduga aku dapat surat tawaran berkhidmat di UIAM. 

       Mulalah aku membuat persiapan untuk hijrah berikutnya mengikut jadual yang telah Allah swt tetapkan untukku. Aku tiba di KL sehari lebih awal untuk lapor diri di UIAM. Tiba di KL aku terus ke Masjid India. Di situ aku bermalam selama beberapa hari sebelum mendapat rumah sewa. 

       Tanpa diduga, hari pertama aku melapor diri, aku telah bertemu sahabat lama Al Arqam. Abu Bakar Dawi. Rupanya dia juga telah mendapat tawaran bekerja di situ. Dia melapor diri di Pejabat Bendahari. Aku di Hal Ehwal Pelajar beberapa 
ketika sebelum pindah ke Perpustakaan. Selepas itu dia mempelawa aku tinggal di rumah sewanya di Kelana Jaya. Sejak itu hubungan kami bertambah erat.

       Beberapa bulan kemudian, aku mengajak Abu Bakar ke Perlis untuk jemput isteri dan anak aku ke KL. Mak mentua aku ikut sama. Aku mula menyewa rumah di Sg. Penchala.  Rumah pertama kurang sesuai. Aku sewa rumah kedua, sewa rumah rm 40.00 sebulan. Tanpa bekalan air, guna satu perigi yang dikongsi untuk dua rumah. Tanpa tandas. Buang air di sungai. Maka terpaksalah aku bina tandas sendiri. Rumah di KL tanpa kemudahan asas cuba anda bayangkan.

       Beberapa bulan selepas itu Abu Bakar berkahwin dengan rakan sekampungnya. Kemudian menyewa di Sg. Penchala juga. Kami kekal berjiran. Malam minggu, kami ke surau Al Arqam mengikuti kuliah mingguan dengan keluarga masing-masing. Keadaan berterusan beberapa tahun sehingga Abu Bakar mendapat dua orang anak yang diasuh oleh isteriku. Manakala aku pula dah ada tiga anak masa tu. 

       Kami bekerja di UIAM sambil berniaga sambilan untuk mencukupkan perbelanjaan keluarga. Apa barang boleh jadi duit, semua kami jual. Musim jagung, musim cempedak, musim rambutan semua kami jual. Berniaga di Pasar Minggu jual kosmetik. Pasar Malam jual Pop Corn. Hari Jumaat di masjid, jual kitab, songkok dan minyak atar. Konvo UIAM jual kek dan biskut. Sehingga akhirnya dia menjadi ejen hartanah dan aku mendapat tender kantin UIAM selama 12 tahun. Alhamdulillah.


- Zainudin Abd Hamid -


~~serikandi~~

Nota Kehidupan Ayah (4)



~ NOTA KEHIDUPAN (4) ~

       Alhamdulillah setelah berlalu tiga tahun yang penuh getir maka Allah swt telah anugerahkan agama untukku yang aku cari selama ini. Rupanya ujian yang berat selama ini adalah tempoh untuk Allah anugerahkan sesuatu yang lebih baik dari dunia dan seisinya.

       Maka bermulalah perjuangan aku dalam arena dakwah. Setiap hari Sabtu dan Ahad aku keluar kem untuk belajar agama di Kg. Baru di rumah Ust Jaafar. Malamnya ke Sg. Penchala.  Di kem  Dusun Tua aku dah mula susun usrah bersama Kamarudin Che Mat. Usrah wanita bersama Rokayah Kushairi. Surau kem adalah markaz kami bertemu.  

       Kami mula Mengeluarkan buletin mingguan Suara Usrah. Mula menjual buku-buku dan kaset dakwah. Membuat lawatan dan rombongan ke Sg Penchala dan rumah anak yatim. Manakala markaz Al Arqam, di Hulu Langat, aku sering membawa kawan-kawan usrahku ke situ. 

       Di sanalah aku mula mengenali Abu Bakar Dawi. Seorang kakitangan UTM. Dia selalu membawa aku ke rumahnya di Hulu Langat. Aku mengenali hampir semua sembilan orang adik beradik nya. Kami  menaiki motor bersama untuk ke tempat pengjian dan ceramah. Begitu pertemuan awal kami, sebelum berpisah beberapa tahun setelah tamat pengajian di situ.

       Sejak aku balik dari PLB Dusun Tua, aku membantu ayahku di kantin sekolah selama beberapa bulan. Kemudian aku cuba membuka perusahaan mee kuning. Percubaan kali pertama, gagal. Aku kembali membantu di kantin.

       Selepas itu aku ditunangkan dengan orang Perlis. Seawal usia 20 tahun aku telah mendirikan rumahtangga. Perkahwinan kami sederhana sahaja. Kami telah diijabkabul di Kg. Bangsal Lebah, Perlis. Kenduri pula, sebelah lelaki di rumah tokwan aku di Tambun Tulang. Selepas itu balik ke Pahang, kenduri kali kedua di Jengka Sebelas, Pahang.

       Kami sempat tinggal beberapa bulan sahaja di Pahang. Selepas aku selesai mengikuti kursus membuat keropok lekor, kami bercadang membuka perusahaan tersebut di Perlis. Akhirnya kami berhijrah balik ke Perlis dengan membawa mesin dan peralatan keropok lekor ke sana. 

       Di situ, aku dan isteriku Che Mah telah bersedia untuk projek baru kami, perusahaan keropok lekor Perlis. Sambutan agak menggalakkan. Pagi aku ke pasar dapatkan bekalan ikan, balik rumah terus buat keropok. Petang semua sudah tersedia untuk dibawa ke pasar malam. Sehingga jam 10 malam baru habis jualan.  Aku berniaga sambil dibantu adik ipar. Masa itu isteriku sarat mengandung anak pertama.

       Pada peringkat awal perniagaan aku malu untuk bergelar penjaja pasar malam. Kalau ada kenalan yang lalu, aku cepat-cepat ke depan gerai, bertindak macam pembeli pula. Itulah pengalaman Melayu malu berniaga.

       Pada bulan Mac 1983 kami menerima kehadiran cahayamata pertamaku. Perniagaan kami ada peningkatan. Sambil berniaga aku mengerjakan sawah dan memelihara ayam. Rezeki pun bertambah. Alhamdulillah.


- Zainudin Abd Hamid -


~~serikandi~~

Nota Kehidupan Ayah (3)



~ NOTA KEHIDUPAN (3) ~

       Akhirnya sampailah aku di Jengka Pahang. Selepas selesai pendaftaran pelajar baru di Jengka 2. Aku mulakan persekolahan di situ. Berbagai kesukaran terpaksa dihadapi untuk menghadiri kelas setiap hari. Perjalanan dari rumah ke sekolah hampir 20 km menaiki bas awam. Jika hujan, jalan tanah merah dari rumah ke jalan besar tidak boleh dilalaui oleh motor atau basikal. Terpaksa berjalan kaki beberapa km.

       Atas sebab kesukaran tersebut, akhirnya aku di tumpangkan di asrama pekerja kilang balak di Bandar Pusat Jengka. Selesai satu masalah. Pada masa peperiksaan aku dapat tinggal di sekolah. Keputusan SRP agak baik. Aku ditawarkan menyambung  ke tingkatan 4 di Sek. Men. Abdul Rahman Talib di Kuantan dalam aliran sains.

       Di asrama, kami disambut oleh senior dengan berbagai ragam. Ada yang bagus, atur program agama di surau. Ada kaki buli, macam-macam tugas yang kena buat. Dari cuci pakaian, cuci kasut, belikan makanan, minuman dan banyak lagi yang perlu dibuat. 

       Satu ketika aku terlupa nama gelaran salah seorang seniorku (Leonardo Da Vinci VOCP Nescafe). Aku dipanggil ke bilik hukuman. Beberapa penampar kuat hinggap ke pipi aku. Pagi esoknya aku dihantar ke hospital Kuantan. Dua malam di hospital, aku dibenarkan balik ke asrama. Yang aku tahu selepas itu senior tersebut kena buang dari asrama.

       Senior yang sering membawa aku ke surau, yang inilah yang membawa aku kepada banyak perubahan besar. Sejak aku di tingkatan 3, aku sudah mencari Tuhan. Sehingga satu ketika aku rasa hidup ini kosong. Apakah hidup ini hanya sebuah pementasan sahaja. Bermula bayi, dewasa, tua dan mati.

       Akhirnya semua persoalan tersebut terjawab dalam usrah Al Arqam bermula di surau sekolah sehinggalah ke markas Al Arqam di Sg. Ular, Kuantan. Dari situ aku mula terlibat dengan aktiviti Al Arqam.

       Setiap kali musim cuti sekolah, aku akan ke Sg Penchala untuk Program Kursus Kefahaman Islam selama 5 hari di situ. Beribu juga peserta yang hadir masa tu. Kesannya aku dah tak tinggal lagi sembahyang 5 waktu.

       Tamat sahaja tingkatan 5, aku mula mengembara ke Kuala Lumpur. Tumpang lori, trak dan sebagainya. Akhirnya sampai ke KL. Aku tidur di Masjid, Taman Bunga dan akhirnya tiba di Perkampungan Al Arqam Sg. Penchala. Kemudian aku terus mendaftar masuk kelas dewasa " Kelas Dakwah dan Kepimpinan". 

       Banyak aktiviti luar kelas yang kena buat. Keluar ke kawasan perumahan menjual surat khabar dan majalah Al Arqam setiap minggu. Kena ketuk pintu dari rumah ke rumah di flat sekitar KL. Membuat berbagai pameran dan jualan dalam persembahan artis-artis Al Arqam. Kesannya kelas agama amat kurang, ini yang membuat aku mula lemah untuk meneruskan pengajian di situ. Sebab tujuan utama untuk belajar agama dah jadi perniagaan.

        Bila keputusan SPM diumumkan, keputusan aku tidak menggembirakan. Hanya layak untuk sambung belajar di PLB Dusun Tua. Selepas itu aku pun mohon berhenti dari Al Arqam untuk sambung belajar. Tapi sebagai aktivis Al Arqam, aku masih mengikuti usrah Al Arqam setiap minggu.


- Zainudin Abd Hamid -

~~serikandi~~

Nota Kehidupan Ayah (2)



~ NOTA KEHIDUPAN (2) ~

       Tahun 1975 ayahku menerima surat tawaran dari kerajaan untuk permohonan penempatan peneroka di Pahang. Ayahku begitu gembira, tetapi pendapat dari kawan-kawannya tidak menggalakkan. "Hang Mid, elok-elok dok berniaga kantin sekolah di sini, nak pi cari susah dalam hutan Pahang pula". Ayah spontan terus jawab: "Dari duduk dalam telur lagi aku dok tunggu, ini dah menetas, aku mesti terima". (Mungkin orang tua-tua yang lebih faham maksud metafora tersebut)

       Maka berangkatlah kami semua bersama tok dan wan menuju ke Pahang. Perjalanan yang mengambil masa hampir dua hari itu amat memenatkan. Sampai di Jerantut, kami menyeberangi sungai Pahang menggunakan feri kayu yang diikat pada kabel dawai. Jambatan belum ada. Akhirnya kami sampai juga di Jengka 11, Bandar Jengka, Pahang. Perkampungan yang terletak di dalam hutan macam penempatan orang asli (semasa itu). Bermulalah kehidupan baru keluarga ayahku di situ. Sementara aku, tok dan wan balik ke Perlis beberapa hari selepas itu.

       Sementara itu di Perlis, kami telah berpindah ke Bohor Mentalun, Tambun Tulang. Rumah tokwan di Simpang Empat dah dijual. Aku juga telah bertukar sekolah. Masa tu aku baru tingkatan dua. Pretasi aku dalam kelas amat cemerlang. No. 1 dalam setiap peperiksaan selama 3 penggal. Aku terus dilantik menjadi pengawas. 

       Bermula tahun baru 1977, semasa di tingkatan tiga, aku dilantik sebagai Ketua Pengawas sekolah, sebab sekolah tersebut tidak ada tingkatan empat dan lima. Ketua Pengawas adalah jawatan popular ketika itu. Ada beberapa kawan perempuan cuba mendekati aku untuk berkenalan. Maka, akhirnya aku memilih seorang darinya. Itu pun  berkenalan melalui surat sahaja sebagai kawan.

       Aku juga ada ramai kawan-kawan lelaki budak kampung. Pada satu ketika, kantin sekolah telah dicerobohi. Ada yang tertangkap. Apabila siasatan dibuat, nama aku muncul sebagai kawan tertuduh. Memang aku salah seorang dari kawan sepermainan dia selepas waktu sekolah. Sejak saat itu aku cukup berhati-hati memilih kawan.

       Tanpa ada sebarang perbicaraan, dalam perhimpunan pagi, kami berdua dipanggil ke hadapan. Hukuman terus dijatuhkan. Kami diotan di depan semua murid semasa perhimpunan. Masa itu hanya tinggal 3 bulan sebelum peperiksaan SRP. Inilah ujian pertama yang mencabar. Aku marah kerana tiada perbicaraan, aku malu terutama pada awek aku dan kecewa kerana tiada siapa yang bela aku. 

       Akhirnya aku ambil keputusan nekad lari dari rumah dan sekolah. Yang aku tahu selepas itu, keluarga aku yang susah payah mencari aku. Ayah aku segera balik dari Pahang ke Perlis untuk mencari aku. Dengan bantuan pakar perubatan tradisional akhirnya aku ditemui di masjid Sg. Petani. 

       Akhirnya ayah aku membawa aku ke Pahang. Pertukaran sekolah dibuat serta merta. Maka berlalulah episod sedih tersebut yang meninggalkan parut yang dalam.

       Dengan hati yang hiba aku berkemas untuk meninggalkan Perlis. Tetapi yang lebih menyedihkan, aku terpaksa berpisah dengan tok dan wan yang telah membesarkan aku selama 15 tahun. Inilah perpisahan pertama kami. Aku tak dapat bayangkan apabila tok dan wan memasuki bilik aku yang penuh dengan bahan bacaan,  Utusan Pelajar, Dewan Pelajar, komik dan berbagai lagi. Tentu hati mereka sedih, dulu bertiga, kini tinggal berdua.


- Zainudin Abd Hamid -

~~serikandi~~

Nota Kehidupan Ayah (1)



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

In shaa Allah kali ini saya akan kongsikan beberapa catatan kehidupan ayah saya. Semoga pahala jariahnya tetap berpanjangan selama mana ada insan yang sudi membaca, menjadikan inspirasi dan mengambil iktibar daripada setiap penulisan ayah. In shaa Allah.

~ NOTA KEHIDUPAN (1) ~ 

       Bismillahirahmanirrahim. Segala puji bagi Allah swt yang telah mengurniakan nikmat iman pada kita. Selawat dan salam pada Rasulullah saw yang membawa obor menerangi jalan kita. Aku mulai nota ini dengan ucapan Alhamdulillah, pada  tanggal 21hb April 1962 aku selamat dilahirkan dengan penuh kasih sayang oleh ibuku di Kuala Sanglang Perlis. Setelah beberapa hari di rumah nenekku di situ, aku dibawa bapaku ke Simpang Empat.

       Umurku baru empat hari. Maka mulai hari itu aku tinggal bersama ayah dan ibuku di rumah tokwan. Datuk sebelah ibuku hanya seorang nelayan. Nenek pula mengambil upah kerja sawah. Kesibukan itu menyebabkan ibu selalu sendirian. Sebab itu ayah membawa kami ke rumah tokwan. Tokwan pembancuh minuman di kedai makan Hailam. Nenek pula berniaga laksa di pasar minggu (Nat Selasa). Ayah pula mengambil upah kerja sawah. Kehidupan yang sederhana tidak terlalu susah. 

       Masa terus berlalu, aku menerima tiga lagi kehadiran adik-adik perempuanku sebelum aku mulai bersekolah. Keluarga kami meriah. Ayahku mulai bekerja keras dan sering berpindah tempat tinggal. Walau bagaimana pun aku dan adikku Norhasma tetap tinggal bersama tokwan.
Kami membesar dengan penuh kasih sayang tok dan wan sehinggalah bersekolah.

       Tahun 1969, bermula kehidupan baruku di sekolah. Aku pelajar yang sederhana tidaklah terbaik. Pagi pergi sekolah kebangsaan, petang pergi mengaji Quran. Yang ini aku selalu ponteng. Kesannya aku antara yang benak tentang Al quran. Aku juga sering membantu nenekku berniaga dan mengambil upah menjual sayur di pekansari bila balik dari sekolah. Inilah pendedahan awal minatku untuk berniaga. Sehinggahlah pada suatu hari hujan, basikal aku yang membawa semua jualan nenekku tersunggkur di depan pekansari kerana jalan licin. Semua laksa tertiarap. Nenek tak jadi berniaga hari itu. Tapi aku tak kena marah. Inilah kelebihan menjadi cucu, tok dan wan sukar marah cucu.

       Apabila umurku 12 tahun, aku dikhatankan. Kenduri sunat di Perlis macam kenduri kawin, meriah. Suasana tersebut sampailah ke hari ini. Orang yang mampu akan tumbangkan dua ekor lembu. Yang tak mampu, kenduri laksa saja. Namun kenduri tetap kenduri. Pada hari meriah itu, tokwan aku keracunan. Tokwan terminum minyak tanah dari botol kaca yang disangka botol air masak. Tak sempat ke hospital dan rawatan kecemasan diberikan segera di situ. Tokwan dipaksa muntah dan diberi minum air kelapa. Dia selamat. Alhamdulillah. Maka, sempatlah tokwan meraikan majlis aku.

       Bermula dari majlis kenduri seperti ini, aku mulai belajar berniaga sendiri. Aku mula menjual aiskrim malaysia di tempat kenduri dan majlis sukan sekolah. Di sekolah aku jual kacang rebus, yang dibuat dan dibungkus oleh mak saudaraku. Sehinggalah aku dikejar tauke kantin sekolah yang melarang aku berniaga. Dari situlah aku belajar berdikari untuk dapat duit poket sendiri.

       Satu lagi kenangan yang tak dapat dilupakan, berniaga pada musim perayaan. Setiap kali musim perayaan zaman tersebut, semua panggung wayang akan menayangkan filem-filem terbaru "pecah panggung". Filem hindi di tangga pertama, filem P. Ramlee, Mat Sentul dan lain-lain pasti akan kehabisan tiket. Inilah sahaja hiburan semasa itu. Selepas ziarah saudara mara, ziarah ke panggung pula. TV hitam putih pun belum ramai yang ada.

       Di kesempatan inilah keluarga aku meraih rezeki. Buka meja jualan laksa, bihun sup, ABC dan sebagainya bersama beberapa peniaga lain sehingga jam 12 malam, bila tayangan terakhir tamat. Begitulah setiap raya zaman tersebut disambut. Masih dalam kejahilan. Itulah kenangan manis zaman kanak-kanakku meniti dewasa.


-Zainudin Abd Hamid-

~~serikandi~~