Friday, November 5, 2010

CeRiTa AgaMa: 3 SoaLan 1 JaWaPaN

Pengajaran yang baik....

Berikut ialah dialog antara seorang pemuda yang sedang mencari-cari kebenaran dengan seorang pendeta yang alim lagi bijaksana..

Pemuda : Anda siapa dan mampukah anda menjawab pertanyaan-pertanyaan saya????

Pendeta : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda....

Pemuda : Anda yakin???? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab  
pertanyaan saya....

Pendeta : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.

Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan:-

1.Kalau memang Tuhan itu ada ,tunjukkan kewujudan tuhan kepada saya....

 2.Apakah yang dinamakan takdir????

3.Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak  
 menyakitkan buat syaitan.... Sebab mereka memiliki unsur yang sama (api).... Apakah Tuhan tidak
pernah berfikir sejauh itu????

Tiba-tiba Pendeta tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras & kuat.....
Pemuda (sambil menahan sakit) :Kenapa anda marah kepada saya????

Pendeta : Saya tidak marah.....Tamparan itu adalah jawapan saya atas 3 pertanyaan yang anda ajukan
kepada saya....

Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti....
Pendeta : Bagaimana rasanya tamparan saya????

Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit....
Pendeta  :Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada????

Pemuda :Ya!!!!

Pendeta :Tunjukkan pada saya kewujudan sakit itu!!!!

Pemuda : Saya tidak boleh....saya tidak dapat menunjukkannya tapi saya mampu merasainya

Pendeta : Itulah jawapan bagi pertanyaan pertama.... kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya....

Pendeta : Apakah semalam anda bermimpi akan ditampar oleh saya pada hari ini????

Pemuda : Tidak!!!!

Pendeta : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima tamparan dari saya hari ini????

Pemuda : Tidak!!!!

Pendeta : Maka itulah yang dinamakan takdir....

Pendeta : Tangan yang saya gunakan untuk menampar anda tadi dibuat dari apa????

Pemuda :Tanah
Pendeta : Pipi anda pula dibuat dari apa????

Pemuda : Tanah yang dijadikan kulit....

Pendeta : Bagaimana rasanya tamparan saya????

Pemuda : Sakit....
Pendeta : Nah! Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan....

Pemuda tersebut akhirnya memahami pengajaran terbesar yang selama ini dicari sepanjang hidupnya. Bagaimana pula dengan kita? Masih berteka-teki dalam diri sendiri atau telah menemui jawapan pasti? renung-renungkan..



~~serikandi~~

Sunday, September 19, 2010

RuHuL AziM

Ruhul azim...

Ya ruhul azim....
Kau tidak melihat melainkan dengan hikmah
Kau tidak mendengar umpat keji yang merosakkan
Tidak engkau berbicara perkara yang sia-sia

Ya ruhul azim...
Wahai jiwa-jiwa yang besar
Tidak engkau kenal kecewa dalam perjuanganmu
Tidak engkau terbeban dengan dugaan yang menimpamu
Tidak engkau canggung dengan dunia di hadapanmu

Kau manusia berjiwa besar!
Cita-citamu tinggi melangit
Dan pandanganmu jauh menjakaui waktu
Matlamatmu hanya satu, menegakkan kalimah Islam di muka bumi.

Sukamu, dukamu, senyum, tawa dan tangismu penuh warna
Warna, yang tidak mungkin dimengertikan oleh insan biasa

Benar!!!
Mereka tidak mengerti!
Engkaulah pemilik jiwa yang besar..
Gembiramu bukan kerana engkau tidak punya masalah
Sebaliknya, kerana resolusi yang sentiasa mendahului
Sedihmu juga bukan kerana kehilangan nikmat
Sebaliknya kerana engkau rindukan ujian dr Tuhan

Ruhulll azimmmmm
Jiwa engkau pada sekeping hati
Dan hati engkau hanya pada Ilahi
Moga engkau miliki kemenangan yang hakiki..


nukilan oleh adik saya..
drfatimadagyno (^_^) ~
 -Fatima' Azzahraa'-


~~serikandi~~

Tuesday, June 8, 2010

Risalah Terakhir - Peluk Islam Selepas Hampir Bunuh Diri

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu,
ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang


~~serikandi~~

Wednesday, June 2, 2010

MuSiBah daRi DeRiTa GaZa


Siapapun akan menangis melihat Gaza menangis kerana apa yang telah menimpa Gaza, seharusnya dirasakan juga oleh kita semua. Dari jauh kita himpunkan doa moga ramai yang tahajud dan solat untuk umat Islam di Palestin.

Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa..Untuk saudara seagamaku di Gaza, ku titipkan tulisan ini sebagai tanda prihatinku untuk nasib kita ummat Islam.. Hanya satu pesanku, untuk kita semua… BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah , kita juga wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan kerana di sisi Allah, ada kebaikan yang tersirat walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatan sangat pahit, tetapi ia manis dan indah apabila hikmahnya dapat dicungkil insya-Allah.

Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala yang tidak disukai oleh manusia seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, kekecewaan, peperangan dan lain-lain. Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah lumrah hidup.

Timbul persoalan di hati, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Apabila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu.

Firman Allah s.w.t.:“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”(Surah al-Ankabut: 2)

Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah.

Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya.

Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Tiga jenis musibah :-

1. Kifarah.
Musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran itu.

Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada hukuman di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf, 43: 48)

Firman Allah swt:“Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” Al A’raf 168

2. Bala.

Ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”(Surah al-Tawbah, 9: 74)

Firman Allah lagi:“maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Al Ankabut: 40

3. Ibtila’
Musibah ke atas orang baik ketika melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.

Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, “kenapa aku yang kena?” sebaliknya mereka akan berkata, “aku telah terpilih.” Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab. Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:“Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim).

Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.

Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya.

Rasulullah saw bersabada:“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim.)

Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila’, kafarah atau bala? Paling tidak, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan segerakan taubat kepada Allah

Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada sinilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.

Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya.” Al Anfal 25

Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan.

Firman Allah:“Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.” Al An’am 42.

Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran.

Apayang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: “It is not how low you fall but how high you bounce back!” yang bermaksud, jangan melihat pada btapa rendahnya dirimu jatuh..tapi lihatlah btapa tingginya kamu dpt bangun dan mlompat semula dari kejatuhan itu..

Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar dan siapa pula umat Islam yang menyamar?

Kesimpulannya, hayatilah firman Allah s.w.t,

“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”(Surah al-Mulk: 3)

Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Maka terimalah setiap ujian Allah dengan hati yng redha dan pasrah..Kerana janji Allah, setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya... insyaAllah
saudara seagama,

~~srikandi_islam~~

Thursday, May 27, 2010

KaLau ALLah MaHa PeNgasiH KeNaPa BuaT NeRaKa?

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. 

Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat. 

 Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan itu, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. 

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam. 

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda...

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat. "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..." 

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak. "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. 

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau takde neraka, saya pun tak nak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga...Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?" 

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "semua benda2 tak baik tu akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua akan masuk syurga..Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..takde siapa yang terima hukuman..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Sebab Tuhan itu 'baik'. 

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz. "A'ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis. Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?" Gadis tu terdiam. Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. 

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita." Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. 

 *untuk dikongsi bersama... http://koleksi-ilmiah.blogspot.com/ 

~~serikandi~~

JaNgaN BeRseDih





assalamualaikum semua pembaca..semoga sntiasa dalam kesihatan dan kegembiraan dunia yang Allah pinjamkan kepada kita semua..

La Tahzan..yang bermaksud jangan bersedih..dun be sad..dun wori..be hepi..acapkali la tahzan meniti bibir mereka yg cuba memujuk hati sendiri atau memujuk sahabat2 yg sedang berduka..La Tahzan..Innallaha Ma'assobirin..janganlah berduka..sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang2 yg sabar..

tapi sejauh manakah kita sebagaii manusia biasa ni mampu menahan kesedihan dan cuba menjadi kental, tabah dan cekal dsebalik ungkapan La Tahzan? kuatkah kita hanya dengan mengungkapkan la tahzan setiap kali Allah menurunkan ujian ke atas kita, makhlukNya yang kerdil di alam fana ini?

takkan menangiskah kita melihat pemergian ibunda tercinta ke rahmatullah? takkan trhiriskah perasaan kita melihat pasangan bersama orang lain? takkan terguriskah hati kita bila fitnah dilemparkan? takkan tercalarkah jiwa kita yang rapuh bila gagal dalam setiap ujian kehidupan? takkan menangiskah kita? takkan berlinangkah air dari mata?

sekadar menjaga suami yang sakit pun mampu membengkakkan mata gara-gara menangis ketika masakkan sup untuknya, pakaikan stokin di kakinya dan mencium pipinya yang panas..aku akui lemah semangatku melihat penderitaan suamiku walaupun sementara..dan aku pun menangis sendiri mendoakan kesakitannya dipindahkan kepadaku..

aku akui dan mengaku sendiri bahawa sesungguhnya aku bukanlah seorang wanita yang kuat dan berselindung di sebalik perkataan La Tahzan..aku adalah wanita sensitif yang cukup rapuh hatinya dan cukup mudah mengalirkan air mata..hanya dengan melihat anak-anak kecil berlari memeluk dan mencium pipi ibunya sudah cukup meluluhkan hati ni..kerana aku belum ditakdirkan Allah menjadi seorang ibu..maka menangis aku bersendirian...

melihat orang buta berjalan sendirian, meraba pakaian di kedai tanpa mengetahui warna atau coraknya..melihat anak-anak yatim merenung keluarga kanak-kanak lain ketika hari raya..membayangkan diri dalam kalangan mangsa perang di iran..
ketika bertahajud dan membayangkan keadaan diri di akhirat..membayang nasib di tittian sirat al-mustakim..membayangkan dosa dan kesilapan lalu..membayangkan hukuman yang menanti di akhirat..membayangkan kematian dan penantian di alam barzah..mengingati Allah dan nabi..membaca kisah para sahabat dan wali..merindui kedua orang dan adik beradikku..semuanya berjaya mengalirkan air jernih yang bergenang di mataku..maka menangislah aku sndirian..

jadi ada apa dengan La Tahzan? di manakah perlunya kita bersikap la tahzan? robotlah kita jika tiada setitik pun air mata pernah mengalir seumur hidup di dunia ni..tiada perasaanlah kita jika tidak pernah menangisi nasib diri dan nasib saudara-saudara kita di dunia ni..

ketika berada dalam keadaan bersedih itulah gunanya La Tahzan..kerana syaitan amat menyukai orang-orang yang bersedih dan tidak mampu mengawal emosinya..kerana syaitan mudah merasuk dan memasuki jiwa-jiwa yang sedang goyah dek kesedihan..maka ketika itulah kita perlu kembali kepada konsep la tahzan..ingtkan diri kita supaya tidak terlalu bersedih dengan segala bentuk ujian yang Allah telah tentukan kepada kita..

menangislah..menangislah sepuasnya..menangislah semahunya dan lepaskan semua perasaan sedih yang terbuku di jiwa..menangislah dan biarlah tangisan itu mampu mengubah kita ke arah kebaikan..menangislah menyesali kekilafan diri..menangislah menyesali dosa2 lalu..menangislah demi meluahkan isi hati..dan berjanjilah dalam tangisan itu bahawa kita akan berubah menjadi diri kita yang lebih baik dari apa yang ada sekarang..menangislah..
tapi ingatlah bahawa sesungguhnya bisikan di kala kita bersedih tu ada kalanya bukanlah datang jauh dari lubuk hati kita yang paling dalam, sebaliknya dari syaitan yang cuba memanjangkan kesedihan tersebut agar mudah kita dihasut dan dirasuknya...nauzubillahi minzalikkkkk

*peringatan untuk diriku yang mudah bersedih dan juga untuk sahabat2..semoga kesedihan yang kita alami tidak membawa kita ke arah kebinasaan diri sndiri..insyaAllah biiznillah..

La Tahzan,
~~srikandi_islam~~

Saturday, May 15, 2010

HiKmAh 5 JaRi

 

 Setiap manusia yang sempurna sifatnya mempunyai 5 jari...Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari manusia. 

Cuba perhatikan perlahan-perlahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat 5 waktu jangan diabaikan.. Kemudian lekapkan jari di atas meja, perhatikan. 

Bermula daripada: 1. Jari kelingking yang kecil dan kerdil- Seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. 

 2. Jari ke-2 iaitu jari manis- Manisnya seperti jari comel dan mulus. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira. Pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda?? 

 3. Jari ke-3 iaitu jari paling tinggi, jari hantu- Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seseorang itu telah mempunyai status dan identity dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak ‘hantu-hantu pengacau’ yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati, dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan. 

4. Jari telunjuk- Jari inilah yang mengungkap satu dan Allah Esa ketika menunaikan solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.  
5. Akhir sekali, renung ibu jari- Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa, ‘cap jempol’ atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata ‘good’ atau ‘yes’ sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda. 

SubhanAllah…..begitu sempurnanya ciptaan Allah. Cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima2nya itu. Renung dan fikir dalam-dalam………

 ~serikandi~

Sunday, May 9, 2010

Ketabahan Ibuku Melawan Kanser


Sempena hari ibu sedunia ini secara automatiknya benakku terimbau kembali kenangan lalu tentang ketabahan seorang yang bergelar ibu. Ibu itu adalah emakku. Isteri kepada ayahku dan ibu kepada aku serta 4 orang adikku.. 

Mak seorang yang tabah, cekal, berani, tegas, bersemangat waja dan kental.. Tapi pada masa yang sama mak juga seorang yang sensitif, penyabar, penyayang dan lemah lembut orangnya.. 

Ayahku seorang pembantu perpustakaan masa tu dan tak mampu menanggung kami sekeluarga dengan perbelanjaan yang mendesak di kotaraya besar seperti KL ni.. Sejak pindah ke bandar metropolitan Kuala Lumpur ni, mak ingin membantu ayah mencari sesuap nasi untuk menyara kami sekeluarga.. 

Mak seorang yang tak pandai duduk diam.. Mak mahu bergerak bebas dan aktif melakukan sebarang kerja.. Mak merayu agar ayah membenarkan mak melakukan sebarang kerja walaupun hanya menjadi cleaner.. Akhirnya niat mak untuk membantu ayah mencari wang tambahan tercapai.. 

Setelah mendapat keizinan daripada ayah, mak mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.. Mak mulakan perniagaannya dengan jualan langsung menjual set pinggan mangkuk accorox dan accopal yang terkenal pada masa tu.. Aku selalu mengikut dan meneman mak berniaga..r Rajinnya mak walaupun terpaksa tebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah orang yang tak dikenali.. 

Pada masa yang sama ayah cuba sedaya upaya mendapatkan gerai untuk mak berniaga secara tetap kerana ayah kesian melihat mak ke hulu ke hilir mempromosi set pinggan mangkuknya sedanngkan hasilnya tak seberapa.. Lagipun ayah nampak potensi mak dalam bidang ni kerana mak rajin dan tidak malu untuk berniaga walaupun secara kecil-kecilan.. 

Akhirnya ayah berjaya mendapatkan sebuah gerai untuk mak berniaga.. Gerai tu kecil je tapi mak terlalu gembira untuk memulakan perniagaannya.. Di gerai yang kecil dan serba daif itu mak mula menjual nasi ayam.. Lama kelamaan nasi ayam mak terkenal di Bandar Tun Razak dan rezeki semakin melimpah ruah.. Sedikit demi sedikit mak membesarkan gerainya dan menambah menu jualan dengan soto dan laksa.. 

Perniagaan mak maju dari masa ke masa sampailah satu hari mak trpaksa melihat depan matanya sendiri gerai kecilnya dirobohkan.. Lokasi gerai mak dahulu adalah tapak parking motor di sebelah LRT Bandar Tun Razak.. Hanya kerana ingin membina parking motor yang tak seberapa itu, gerai mak jadi mangsa dirobohkan.. 

Mak berdiri dan menangis-nangis menghalang di depan jentolak yang cuba merobohkan gerai mak.. Walaupun diberi pampasan, mak cuba menghalang gerai yang diusahakan dengan titik peluhnya selama ini dari dirobohkan.. Akhirnya sekuat manapun mak menghalang, gerai kecil yang banyak berjasa kepada mak itu tetap diranapkan sebagaimana ranapnya hati dan harapan mak pada masa tu.. 

Atas nasihat ayah bahawa kalau satu pintu tertutup, masih banyak lagi pintu lain akan terbuka, mak terus tabah.. Dalam masa yang sama ayah berusaha mendapatkan tender untuk mak teruskan minatnya dalam bidang perniagaan.. Akhirnya ayah berjaya mendapatkan tender untuk mak berniaga di kantin UIA.. 

Alhamdulillah ketabahan mak berbaloi..dan mak bahagia dalam dunia perniagaannya selama hampir 10 tahun di UIA.. Tapi hari ini mak seorang pesakit kanser.. Walau bagaimanapun kanser payudara yang mak hidapi bagaikan tak menggugat ketabahan mak selama ni.. Di sebalik penyakit kronik itu mak masih terus gagah, tabah, cekal dan bersemangat.. 

Dada mak hitam dek pancaran laser yang membakar kanser.. Tangan mak tak lagi mampu diangkat tinggi dek kesan kemoterapi.. Pergerakan mak terbatas dan mak tak lagi mampu bergerak aktif dan bebas seperti dulu.. Hari ini mak tetap tabah sebagaimana tabahnya mak satu masa dulu walaupun fizikalnya tak lagi secergas dulu.. Mak cekal dalam keadaan dan takdirnya sendiri.. 

Bagi orang lain, mungkin guru adalah ibarat lilin yang membakar diri.. Tapi bagi aku, mak lah lilin yang membakar diri itu.. Mak telah menyerap segala penderitaan untuk memberikan kebahagiaan kepada kami skeluarga.. 

Ayah walaupun kelihatan tenang dengan raut wajah seperti tiada sebarang masalah yang berlaku, jauh di dasar hatinya sedang cuba berusaha mencurahkn sepenuh kasih sayang kepada mak.. Apa sahaja prmintaan mak akan ditunaikan.. Segala keinginan mak cuba diturutkn.. 

Mak teringin nak mkn KFC, berkali kali ayah bisikkn kepadaku "jom kita bawa mak makan KFC".. Mak teringin bersiar siar ke pantai, ayah kumpulkan kaum keluarga pergi bercuti bersama dan menghiburkn hati mak.. Doktor menasihati agar mak banyakkan memakan buah-buahan yang berwarna kuning, ayah tak putus-putus membelikan.. Harini ayah beli pisang, esoknya oren, lusanya mangga dan begitulah seterusnya.. 

Doktor nasihatkan mak berehat.. Ayahlah yang masakkan untuk mak..kemaskan rumah, basuh pinggan mangkuk, basuh, jemur dan lipatkan baju..segalanya ayah lakukan untuk mak..demi mengembalikan kebahagiaan mak yang telah dikorbankn untuk keluarga selama ni.. Aku pulak..tak mampu menahan tangisan setiap kali mengenangkan penderitaan mak selama ni..

Derita mak ketika melahirkan aku..derita mak ketika melahirkan adik-adikku..derita mak ketika melayan karenah kami dari kecil sehingga dewasa..derita mak dengan segala masalah keluarga..derita mak menghadapi kesakitan yang amat sangat ketika pembedahan, kemoterapi dan radioterapi..derita mak dengan keterbatasan pergerakannya dan derita mak ketika gugur keseluruhan rambutnya dengan rasa rendah diri.. 

Ya Allah demiMu Ya Robbi Yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pengasih..sesungguhnya hanya Kau yang Maha memahami dan Maha mengetahui betapa tabah dan cekalnya hati ibuku..hentikanlah tangisanku di dinihari ini..bekalkanlah aku sedikit dari kekuatanMu Ya Allah agar dapat aku bertahan dan membalas segala jasa, pengorbanan, darah, keringat dan air mata ibuku yang jatuh ke bumi demi kami sekeluarga..Kau kurniakanlah kebahagiaan untuk ibuku..biarlah kebahagiaan itu menjadi miliknya abadi..aminnnn aminnn aminnn Ya Rabbal Alamin.. 

 Ibuku,Syurgaku.. 

~~serikandi~~

Saturday, May 8, 2010

Nasyid Lama - NuRuL ImaN Berdiri Di Tingkap (Pustaka Salam 1986)



Assalamualaikum wbt.

Ayah bekas Jemaah Al-Arqam. Jadi lagu-lagu nasyid menjadi halwa telinga kami sejak kecil lagi. Ayah sering dodoikan kami dengan pelbagai jenis selawat dan nasyid. 

Nurul Iman merupakan antara nasyid yang paling kami tak boleh lupa sebab liriknya sangat dekat di hati kami sebagai anak-anak kecil dahulu.

Sehingga kini kami masih hafal lagi lagu ini. Lagu yang mengajar kita agar sentiasa bersyukur kepada Allah kerana menciptakan alam yang serba indah untuk kita nikmati..

Walaupun liriknya ringkas tapi kesannya  mendalam untuk buatkan kita berfikir dan bersyukur atas segala kurniaanNya..hayatilah.. 

Nurul Iman berdiri di tingkap
Memandang-mandang melihat-lihat

Ada awan di langit biru
Terapung-apung di atas bukit
Tiada tiang tiada tali
Namun jatuh tak sekali
Namun jatuh tak sekali

Ada burung terbang bebas
Angin bersih bertiup lepas
Ada pokok hijau menawan
Bunga-bungaan bermacam-macam

Sungguh cantik
Sungguh indah
Sungguh besar kuasa Allah
Jadikan itu jadikan ini
Untuk makhlukNya yang disayangi

Nurul Iman berfikir-fikir
Mesti bersyukur kepada Allah
Keluar katanya dari bibir
Subhanallah Subhanallah...


Ma shaa Allah. Siapalah agaknya penulis lirik dan penyanyi nasyid ni. Semoga pahala jariahnya berpanjangan selama masih ada yang melagukan, menikmati dan mengamalkan. Aamiin.

Syukurku padaMu
~~srikandi_islam~~

Wednesday, May 5, 2010

NaSyiD DaRi SeOraNg AyaH - Mari Sembahyang



Assalamualaikum wbt.

Sejak kami adik beradik masih dalam buaian, ayah selalu nasyidkan lagu nasihat ini untuk kami..

Sehingga hari ini kami hafal nasyid ni... Syahdu betul bila nyanyikan lagu ni.. Masa kecil ayah nyanyikan untuk aku.. Bila aku dh cukup besar untuk dodoikn adik, giliran aku pula yang nasyidkan untuk adik dalam buaian..

Semoga kami, anak-anak ayah dapat laksanakan solat 5 waktu sehari semalam dengan baik berkat didikan sejak kecil melalui nasyid begini.  

 Tapi lirik yang awalnya ialah selawat dalam Bahasa Arab.. Maaf ye kalau salah eja. Saya  tak pandai guna bahasa Arab jadi eja rumi je..


Allahumma Solli Wasallim 'Aala..
Saiyidina Wamaulana Muhammadin..
Adadama Fiilmillahi Solatan..
Daiimatan Bidawamin Mulkillahi...

Mari2 tuan puan kita sembahyang
Nabi Adam paling tua juga sembahyang
Mari2 kanak2 kita sembahyang
Hasan Husin masih budak juga sembahyang

Allahumma Solli Wasallim 'Aala..
Saiyidina Wamaulana Muhammadin..
Adadama Fiilmillahi Solatan..
Daiimatan Bidawamin Mulkillahi...


Mari2 gadis cantik kita sembahyang
Siti Fatimah amat cantik juga sembahyang
Mari2 pemuda kacak kita sembahyang
Nabi Yusuf amat tampan juga sembahyang

Allahumma Solli Wasallim 'Aala..
Saiyidina Wamaulana Muhammadin..
Adadama Fiilmillahi Solatan..
Daiimatan Bidawamin Mulkillahi...


Mari2 orang kaya kita sembahyang
Nabi Sulaiman kaya raya juga sembahyang
Mari2 orang miskin kita sembahyang
Nabi Ayub amat miskin juga sembahyang

Allahumma Solli Wasallim 'Aala..
Saiyidina Wamaulana Muhammadin..
Adadama Fiilmillahi Solatan..
Daiimatan Bidawamin Mulkillahi...


Mari2 pemimpin tentera kita sembahyang
Khalid Al Walid pemimpin tentera juga sembahyang
Mari2 pemimpin negara kita sembahyang
Nabi Muhammad pemimpin ummat juga sembahyang
Nabi Muhammad pemimpin ummat juga sembahyanggggggg....


terima kasih ayah,
~~srikandi_islam~~

Thursday, April 29, 2010

Kisah MaTa YaNg BuTa



Assalamualaikum wbt

Satu malam aku ke seven eleven membeli top up. sedang beratur di kaunter, seorang pakcik masuk lalu terus memotong barisan dan menghala ke kaunter tanpa menghiraukan orang lain yang sedang beratur.. Dia bertanyakan sesuatu kepada cashier..


"Dik, kek gulung ada tak?"

Aku yang berada di belakang pakcik itu tersentak..kek gulung? di seven eleven? Lantas aku sedar bahawa pakcik itu telah tersalah masuk kedai..Ya Allah aku telah bersangka buruk terhadap seorang pakcik tua yang buta.. Dia tidak bertongkat malah matanya tidak kelihatan cacat tapi sesungguhnya dia seorang tua yang buta..

Aku terfikir..mungkin pakcik yang buta ini tidak mahu menyusahkan orang lain lantas pergi ke kedai bersendirian walaupun dengan fizikal yang serba kekurangan.. Cekalnya hatimu pakcik..

Di suatu ketika yang lain, pada bulan puasa, Ramadhan yang mulia beberapa tahun lalu, kisah ini terjadi..

Seperti biasa suasana bazar ramadhan di jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) sesak dengan pelbagai ragam manusia..peniaga berniaga, pembeli tawar menawar, pelancong asing memerhati (barangkali menghargai, menilai atau cuba membezakan tradisi dan budaya kita dengan mereka..)

Aku dan kawan-kawanku cuba mengelak kesesakan dengan menuju ke kedai-kedai pakaian berhampiran.. Alang-alang ke situ, kami mencari pakaian raya sekali.. Aku sedang membelek tudung-tudung yang bersangkutan dan sesekali mataku memerhati sepasang suami isteri yang sedang berbisik-bisik sesama sendiri.. Dari kejauhan aku terdengar bisikan si isteri kepada si suami..

"Abang, agak-agak tudung ni warna apa ya?Sesuai ke dengan baju yang anak-anak kita belikan tu?"

Ya Allah Ya Tuhanku betapa Kau telah menunjukkan kebesaranMu kepadaku yang kerdil ini.. Tanpa disedari air mata ini mengalir laju di hadapan dua manusia yang bertongkat itu tanpa penyaksian mereka sendiri..

Sepanjang perjalanan pulang tak henti-hentinya aku fikirkan.. Bagaimana mereka yang buta mampu memilih warna pakaian untuk disepadankan? Tahukah mereka bagaimana warnanya hijau? Merah? Biru? Atau mereka hanya mengenal hitam semata-mata?

Ya Allah tak dapat kubayangkan jika aku berada di tempat mereka.. Demi Allah sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan nikmat penglihatan ini Ya Allah.. Dan demi Allah juga aku memahami bahawa mereka yang buta dan kelihatan derita sebenarnya sedang bahagia di dalam hati kerana mensyukuri takdir mereka sndiri.. 

"Sudah cukup bersyukurkah kita?"


hambaMu yang bersyukur
~~srikandi_islam~~

WaRkaH RinDu BuaT AnaKkU


Assalamualaikum anak Ummi...

Ummi doakan di mana sahaja anak Ummi berada, semoga anak Ummi kekal diredhai Allah, diberkati, drestui, disayangi dan dikasihi Allah s.w.t

Hampir 4 tahun Ummi dan Abi menanti kehadiran anak Ummi yang bakal menceriakan dan menyinari khidupan kami yang bahagia..bila agaknya Ummi dapat bertemu muka dengan anak ummi ni ye? Rinduuuuu rasanya hati pada anak yang Ummi kasihi..smoga anak Ummi cepat hadir ke pangkuan Ummi dan Abi ye sayang..

Telah hampir 4 tahun Ummi dan Abi bersabar menunggu kehadiran anak Ummi tanpa henti berdoa kpd Allah..apa salahnya kami terus bersabar dan terus setia menanti..kerana Allah telah mengurniakan kami kesabaran yang tinggi sepanjang penantian ini..

Ummi sentiasa berdoa agar penantian Ummi dan Abi tidak sia-sia kerana kami yakin akan hikmah di sebalik ujiannya ini..smoga anak yang bakal Ummi kandunngkan nanti merupakan insan kamil..terpelihara sahsiahnya, tinggi imannya, serta baik budi pekertinya..

Semoga anak Ummi mampu menjadi seorang khalifah Allah yang alim, adil, khusuq, tawadhuk, tenang, istiqamah, penyayang, sopan santun, baik tutur kata, berani, tegas, tetap pendirian serta sempurna agamanya..

Semoga Allah akan kurniakan Ummi dan Abi anak yang cukup sempurna sifatnya,baik, bijak, petah, cantik, menyenangkan semua oranng serta penuh dengan segala sifat2 mahmudah dan djauhi dprd segala sifat2 mazmumah..insyaAllah..

Ummi dan Abi yakin pada janji Allah bahawa sesungguhnya kesudahan yang baik untuk orang2 yang bersabar..insyaaAlah..aminnnn..



~~srikandi_islam~~

Sunday, April 11, 2010

Nasihat aYaH

1- sebaik-baik pemberian dan hadiah adalah kata-kata hikmah..kau dengar, baca lalu kau simpan sebaiknya..kemudian kau sampaikan kepada saudaramu yang Muslim dan ajari dia..perbuatan itu menyamai ibadah selama setahun.. (hadith riwayat Ath-Thabrani) 

 2- tujuan kita datang ke dunia ini adalah untuk menggembirakan semua orang. Di hari kelahiran kita semua orang tersenyum girang menyambut sedangkan kita menangis.. Di hari kematian kita biarlah semua orang menangis sedang kita tersenyum puas kerana telah menyempurnakan kehidupan..(Ibn Hamidi) 

 3-sesungguhnya dunia itu adalah lautan yang dalam..telah banyak manusia yang karam di dalamnya..maka jadikanlah taqwa sebagai perahumu..iman sebagai muatannya dan tawakkal kepada Allah sebagai layarnya..
Mudah-mudahan kau akan selamat kerana hanya sedikit yang slamat itu.. (Luqmanul Hakim) 

 4- kasih adalah kekayaan hidup yang akan bertambah apabila dibahagi-bahagikan kepada semua orang. Empat perkara yang akan mengangkat manusia ke darjat tertiggi walaupun amalan dan pengetahuannya sedikit..iaitu lemah lembut, rendah hati, murah hati dan baik akhlak..kerana itu adalah kesempurnaan iman..(Hukama) 

 5-hiduplah seperti pohon kayu yang lebat buahnya dan rendang dahannya dan tumbuh di tepi jalan..walaupun dilempar batu tetap dibalas dengan buah dan menjadi tempat teduhan.. (Hassan Al-Bashri)

Wednesday, April 7, 2010

BiLa NanTi KaU bEsaR AnaKkU




Bila Nanti Kau Besar Anakku
Bicaralah Yang Baik-Baik
Biar Senang Hati Ayah
Biar Senang Hati Ibu

Bila Nanti Kau Besar Anakku
Cita-Cita Biar Mencecah Langit
Jangan Setapak Pun Kau Mengalah
Sebelum Sayangku Berjuang
Kerana Setapak Langkah Sumbang
Seribu Tahun Padi Sambang
Seabad Bumi Gersang

Bila Nanti Kau Besar Anakku
Warnailah Layarmu Dengan Warna-Warna Indah
Membiru Memutih
Damai Dan Bersih

Jangan Sesekali Kau Calitkan
Warna Hitam Di Layarmu
Kerana Yang Sekali Itu
Bisa Mencacatkan Birumu
Bisa Mencacatkan Putihmu

Peganglah Sayang
Peganglah Pesan Ayah
Peganglah Pesan Ibu
Demi Tuhan
Demi Ayah Dan Ibu

Bila Nanti Kau Besar Anakku
Jangan Lupa Ayah Dan Ibu
Jangan Lupa Kami Yang Sedang Beradu
Taburilah Dengan Bunga-Bunga Doa
Biar Sejuk Ayah
Biar Sejuk Ibu


~~Ibu Bapaku~~
Duniaku, Akhiratku..

Bertahun-tahun lamanya sajak ini tergantung di dinding bilik kami adik beradik. Alhamdulillah setelah berulang-ulang kali dibaca hingga hampir hafal bait-baitnya, banyak kesan positif yang semakin menerap ke dalam diri kami. Mungkin itulah harapan ayah semasa menggantungkan sajak itu di bilik kami dahulu. Semoga segala yang baik itu kekal sehingga ke akhir hayat kami dan diteruskan pula oleh generasi selepas kami nanti. In shaa Allah.

Srikandi_Islam