Tuesday, April 11, 2023

Nukilan Ayah (7)


بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
 اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ 


Pengembaraan Yang Dilupakan......

Sejarah yang berulang.....

Setiap detik yang berlalu adalah sejarah. Samada ia berlaku 60 tahun yang lalu atau sejam yang lalu. Semua peristiwa yang telah berlalu, pasti tidak dapat diundurkan semula. Ia telah menjadi sejarah.

Jika ia adalah peristiwa indah, pasti akan kekal dalam memori. Jika ia adalah peristiwa hitam, pasti jejaknya pun akan cuba dipadam.

Di sini aku akan menceritakan sebuah kisah indah yang telah berulang kembali setelah ia berlaku lebih dari 60 tahun yang lalu.

60 tahun lalu aku telah dibesarkan oleh tok Melah dan tokwan Jen sehingga berusia 15 tahun sebelum kembali tinggal bersama mak dan ayah aku semula.

Sekarang selepas 60 tahun berlalu, setelah tok, tokwan dan ibu bapaku dah tiada, aku kembali mengulangi sejarah untuk membesarkan seorang cucu bersama kami.

Namanya Muhammad Faqehudin. Di sini aku menulis J. Din (junior). Manakala W. Din (wan) adalah aku. Kami mula menjaga J. Din sejak lahir sehingga kini berumur 6 tahun. Manakala aku W. Din 61 thn. 

Saat ini adalah masa paling indah, apabila Allah SWT memperlihatkan pada aku satu persatu detik-detik seorang datuk dan nenek membesarkan seorang cucu. Sudah pasti aku terbayangkan bagaimana W. Din dibesarkan oleh tok Melah dan tok Jen. 

J. Din sentiasa ingin tidur di tengah-tengah antara kami. Terlalu manja dengan tok, mengalahkan ibunya. Manakala W.Din pasti akan mudah mengikut apa saja kemahuan J. Din yang baik. 

Begitu juga bila J. Din ditimpa ujian kena patuk ular semasa dia berumur 2 tahun.  Maka yang terasa perit merawatnya ke hospital selama beberapa bulan adalah tok dan wan. 

Begitulah layanan tok dan tokwan dengan cucunya macam aku dulu-dulu. Kepada yang belum bergelar tok dan tokwan bersabar dulu sebelum anda menyalahkan mereka kerana memanjakan cucu.

Syukur Allah SWT memperlihatkan kembali kisah silam aku bersama tok Melah dan Tokwan Jen. Semoga kita semua akan dikumpulkan semula di Jannah nanti.

Dan aku mula membayangkan betapa kenangan indah itu adalah amalan-amalanku yang baik yang ingin aku bawa sebagai bekal ke akhirat nanti. Dan segala kenangan gelap ingin aku padamkan dari kitab amalku. 

Aku mulai takut, aku akan menyesal di sana kerana aku telah mensia-siakan segala peluang yang Allah SWT telah berikan selama ini.

Kerana di akhirat nanti semua orang akan menyesal bila melihat apa yang Allah SWT sediakan untuk segala amalan baik tersebut. "Kenapa aku tidak lakukan itu dan kenapa aku tidak lakukan lebih baik dari itu".


-Zainudin Abd Hamid-

No comments:

Post a Comment