Wednesday, June 2, 2010

MuSiBah daRi DeRiTa GaZa


Siapapun akan menangis melihat Gaza menangis kerana apa yang telah menimpa Gaza, seharusnya dirasakan juga oleh kita semua. Dari jauh kita himpunkan doa moga ramai yang tahajud dan solat untuk umat Islam di Palestin.

Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa..Untuk saudara seagamaku di Gaza, ku titipkan tulisan ini sebagai tanda prihatinku untuk nasib kita ummat Islam.. Hanya satu pesanku, untuk kita semua… BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah , kita juga wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan kerana di sisi Allah, ada kebaikan yang tersirat walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatan sangat pahit, tetapi ia manis dan indah apabila hikmahnya dapat dicungkil insya-Allah.

Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala yang tidak disukai oleh manusia seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, kekecewaan, peperangan dan lain-lain. Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah lumrah hidup.

Timbul persoalan di hati, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Apabila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu.

Firman Allah s.w.t.:“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”(Surah al-Ankabut: 2)

Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah.

Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya.

Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Tiga jenis musibah :-

1. Kifarah.
Musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran itu.

Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada hukuman di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf, 43: 48)

Firman Allah swt:“Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” Al A’raf 168

2. Bala.

Ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”(Surah al-Tawbah, 9: 74)

Firman Allah lagi:“maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” Al Ankabut: 40

3. Ibtila’
Musibah ke atas orang baik ketika melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.

Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, “kenapa aku yang kena?” sebaliknya mereka akan berkata, “aku telah terpilih.” Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab. Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:“Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim).

Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.

Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya.

Rasulullah saw bersabada:“Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian dosanya.” (HR Bukhari dan Muslim.)

Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila’, kafarah atau bala? Paling tidak, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan segerakan taubat kepada Allah

Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada sinilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.

Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya.” Al Anfal 25

Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan.

Firman Allah:“Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.” Al An’am 42.

Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran.

Apayang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: “It is not how low you fall but how high you bounce back!” yang bermaksud, jangan melihat pada btapa rendahnya dirimu jatuh..tapi lihatlah btapa tingginya kamu dpt bangun dan mlompat semula dari kejatuhan itu..

Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar dan siapa pula umat Islam yang menyamar?

Kesimpulannya, hayatilah firman Allah s.w.t,

“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”(Surah al-Mulk: 3)

Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Maka terimalah setiap ujian Allah dengan hati yng redha dan pasrah..Kerana janji Allah, setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya... insyaAllah
saudara seagama,

~~srikandi_islam~~

No comments:

Post a Comment