Saturday, August 15, 2015

MeRaNcaNg KeMaTiaN


Pernahkah kita terfikir dan merancang kematian kita sebagaimana kita berfikir dan merancang kejayaan sepanjang perjalanan kehidupan kita? 

Hari ini suka untuk saya mengajak kita bersama-sama menelusuri kematian yang bakal kita alami pada bila-bila masa dari sekarang. 

Kemudian kita renungkan bersama-sama di mana salah silapnya kita selama ini dan bagaimana pula cara kita memperbaiki agar tiada penyesalan di "sana" nanti.


Apabila Ajal Menjengah

a) Bagaimana cara kita mati?
Kemalangan jalan raya? Bencana alam? Dibunuh? Nauzubillahiminzalik. Dalam tidur atau dalam solat?
    
b) Di mana dan dalam keadaan bagaimana?
Masjid, Makkah, atau dalam majlis ilmu? Di kelab malam, rumah urut atau ketika sedang berzina?

c) Mati dalam iman atau kufur?
Sama ada sempat bertaubat atau tidak. Melafazkan syahadah atau sedang memaki dan sumpah seranah?


Pengurusan Jenazah

a) Kematian ditangisi atau dinanti?
Jika kita disenangi dan disegani ramai, mungkin kematian kita ditangisi. Sebaliknya jika kita dibenci ramai yang ternanti-nanti kematian kita. Nauzubillahiminzalik.

b) Bagaimana keadaan mereka yang ditinggalkan?
Adakah cukup bekalan dunia dan akhirat yang kita tinggalkan buat keluarga tercinta? Adakah orang yang ditinggalkan terpaksa menanggung segala beban kerja, hutang atau dosa-dosa yang ditinggalkan?

c) Keadaan rumah dan fizikal kita bersih atau aib?
Perlu untuk kita sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Keadaan rumah dan fizikal diri kita yang tidak bersih pasti mengaibkan jenazah kita sendiri dan keluarga.

d) Pengurusan jenazah mudah atau sulit?
Adakah jenazah kita berat, busuk dan berulat sehingga susah untuk diuruskan? Nauzubillahiminzalik. Atau jenazah kita diringankan, berseri-seri, sedang tersenyum dan berbau wangi. Allahu. In shaa Allah.


Di Alam Barzakh

a) Bagaimana keadaan kubur kita?
Boleh jadi luas, bercahaya dan mudah dikebumikan. Mungkin juga sempit, tidak cukup tanah, disambut dek ular dan kala jengking. 

b) Mampukah berdepan mungkar nangkir?
Adakah kita dapat menjawab kesemua soalan yang bakal ditanyakan?

Siapakah Tuhan kamu? (Allah Taala Tuhanku)
Siapakah Nabi kamu? (Muhammad Nabiku)
Apakah agama kamu? (Islam Agamaku)
Apakah kiblat kamu? (Baitullah itu qiblatku)
Siapakah saudara kamu? (Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku)
Apakah pegangan iktikad kamu? (Kitab suci Al-Quran ikutanku)
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu? ("La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah")

c) Bersediakah dipukul dan dipalu?
Sebelum berjumpa Allah, kita juga akan diseksa oleh malaikat di dalam kubur jika meninggalkan solat. Mungkin dipukul, dipalu. Mungkin kubur menjadi panas dan membara. Nauzubillah

Di Alam Akhirat

a) Ke mana hala tuju kita?
Mungkin terus ke syurga tanpa hisab atau mungkin terus dicampakkan ke neraka.

b) Bagaimana cara melalui siratal mustaqeem?
Sama ada laju lambat atau mungkin terjatuh di tengah-tengah perjalanan.

c) Berapa berat neraca timbangan mizan?
Mungkin berat amal melebihi berat dosa. Mungkin juga sebaliknya.

d) Siapa yang akan mendoakan kita?
Boleh jadi anak-anak soleh atau anak-anak yatim yang selalu kita ambilberat. Boleh jadi orang-orang yang selalu menerima sedekah jariah daripada kita. Atau mungkin tiada siapa kerana kita hanya pentingkan diri sendiri.

e) Buku amalan
Adakah kita menjadi golongan kiri atau kanan. Buku amalan yang bakal diberikan sama ada diterima dengan tangan kiri atau tangan kanan?

f) Alam akhirat
Sama ada kita menerima hukuman yang sentiasa diulang-ulang atau menerima ganjaran nikmat dan pahala di syurga abadi. 

Allahu a'lam bissawab.

Bila Izrail datang memanggil 
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil 
Terkujur badan nan kedinginan

Tak ada lagi gunanya harta 
Kawan karib sanak saudara
Jika lah ada amal di dunia 
Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung 
Engkau digelar manusia agung
Sadarlah diri tahu diuntung 
Sebelum masa keranda diusung 

Datang masanya insaflah diri 
Selimut putih pembalut badan 
Tinggal semua yang dikasihi 
Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Jom kita sama-sama menadah tangan dan berdoa. Moga-moga turut diaminkan melaikat di kiri dan kanan kita.

Ya Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani
Ampunilah dosa-dosa kami
Terimalah taubat kami
Terimalah segala amal ibadah sepanjang hidup kami
Sucikan diri kami sebagaimana sucinya kami ketika dilahirkan

Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Permudahkanlah segala urusan kami
Di dunia, di alam barzakh dan di akhirat
Permudahkanlah segala urusan mereka yang kami tinggalkan
Tutupkanlah segala keaiban dan dosa-dosa kami

Allahummah timlana bihusnul khotimah
Wala tahtim alaina bisu'il khotimah
Kurniakanlah kami pengakhiran hidup yang baik
Jangan Kau timpakan kesudahan yang buruk ke atas kami

Rabbana atina fiddunya hasanah
Wafil akhirati hasanah waqina 'azabannar
Kurniakanlah kebaikan kepada kami di dunia
Kurniakanlah kebaikan kepada kami di akhirat
Dan jauhkan kami dari azab api neraka
Ameen. Ameen. Ameen. Ya Rabbal Alameen

~~srikandi_islam~~

No comments:

Post a Comment