Friday, August 14, 2015

IQOB



IQOB. Mungkin ramai yang sudah mengetahuinya. Tak berdosa jika terus membaca. Malah berpahala andai memperbetul kekhilafan saya dalam pencerahan ini. 

Mungkin juga ada yang baru pertama kali mendengarnya. Tak perlu malu ketinggalan ilmu. Tapi malulah bila ilmu yang dah terhidang di depan mata dikesampingkan. 

Jom sama-sama kita telusuri. Apa itu IQOB?

IQOB daripada Bahasa Arab bermaksud hukuman atau denda. Ejaan bahasa arabnya ‘ain’, ‘khof’, dan ba’. Kata dalam al-Quran yang mempunyai seksaan salah satunya adalah kata `Iqob. Kata `Iqob ini berasal dari kata kerja `Aqaba- Ya`qubu-A`qban-Iqaaban yang bermaksud seksaan. Oleh itu kita dapat mengetahui erti yang sebenarnya daripada kata `Iqob itu sendiri, kerana seksaan atau ganjaran itu datangnya dari Allah SWT baik yang diturunkan ke dunia ini mahupun kelak di akhirat nanti. 

Setiap kesalahan individu pasti dikenakan hukuman oleh individu lain. A buat salah, B akan hukum. Penjenayah bersalah, penguasa hukum. Manusia buat salah, Allah hukum. Kebiasaannya hukuman ini berbentuk negatif. Dipenjara, disebat, digantung atau dicampakkan ke neraka. Na'uzubillahiminzalik.

BERBEZA DENGAN IQOB.

IQOB adalah denda atau hukuman yang dikenakan oleh DIRI ke atas DIRI SENDIRI. Denda dan hukuman dalam IQOB berbentuk POSITIF. IQOB dikenakan sebagai motivasi dan galakan kepada diri sendiri agar tidak mengulangi kecuaian dan kesalahan yang telah dilakukan.

CONTOH. Membaca 3 muka surat Al-Quran menjadi amalan kita setiap malam, tetapi suatu malam kita terasa amat malas untuk membacanya langsung (dek bisikan syaitan = syaitan menang dan bertepuk tangan). Malam esoknya kita IQOB diri dengan menggandakan bacaan ke 5 hingga 6 muka surat.

Begitu juga andai kita terjerumus ke lembah kemaksiatan. Kala malam kita bersendirian, dengan telefon di tangan, akses internet yang tiada kesudahan dan bisikan hasutan syaitan membuatkan kita tersasar dari landasan. Jangan putus harapan. Beristigfarlah dan bertaubatlah sesungguhnya Allah Maha Mengampunkan. Maka iqob diri kita dengan amalan yang dibenci syaitan. Percayalah pada waktu itu syaitan akan rasa kalah dan dimanipulasikan.

Cuba kita iqob diri pada setiap amal ibadah yang tertinggal dan pada setiap dosa yang terlakukan sama ada sengaja atau tidak . Terus laksanakan iqob sehingga syaitan merasa keliru kerana lebih banyak dibisikkan kejahatan lebih banyak pula kita gandakan amalan. ( Nah, sekarang siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam perjuangan?)

Jangan kenakan hukuman yang berat. Jangan sehingga membebankan dan menjejaskan amalan lain pula. Mulakan dengan selawat 50 kali pada setiap iqob sudah memadai. Cukup sekadar peringatan pada diri agar lebih berhati-hati dalam menjaga amalan. Jangan pula menjadikan iqob sebagai alasan untuk bermalasan dalam melakukan amalan.

Sesungguhnya ‘iqab dan ganjaran hanyalah satu anjuran untuk meningkatkan motivasi dan disiplin dalam diri. Memberi ganjaran ketika membuat kebaikan dan menghukum ketika melakukan kesalahan. Tidaklah seberat mana hukuman yang dilalui di dunia jika dibandingkan dengan azab di hari pengadilan kelak untuk setiap dosa yang kita lakukan, nauzubillah. Betapa besar dan nikmat juga ganjaran yang bakal kita peroleh di syurga nanti andai amalan baik kita diterima Allah SWT. Subhanallah.


Sekadar renungan sebelum menangguhkan catatan:

 

“dan sesungguhnya (pertolongan) Allah SWT adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya” (Al-‘ankabut:26:69)

 

~~srikandi_islam~~

 

No comments:

Post a Comment