Wednesday, April 5, 2023

Hijrahku - Pakaian Serba Hitam


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sejak kecil saya tidak berpeluang ke sekolah agama. Hanya mengaji Al-Quran di rumah ustazah yang kami gelar Ummi. Ketika itu saya sangat cemburu akan adik-adik saya yang berulang ke sekolah agama setiap hari seusai sekolah kebangsaan. Mereka lebih mahir ilmu tajwid, hafazan, bahasa Arab dan doa-doa berbanding saya. Mereka anak-anak yang baik sejak kecil. Sedangkan saya berkawan dengan kaki ponteng sekolah, ponteng puasa, mencuri, mencarut, bergaul bebas tanpa batas dan serba serbi lagi kenakalan zaman kanak-kanak dahulu. Maklumlah, kami budak tak sekolah agama.

Alhamdulillah Allah tak biarkan saya hanyut bersama kawan-kawan yang begitu terlalu lama. Allah takdirkan saya diterima masuk ke sekolah menengah agama dengan rayuan kerana tiada sijil sekolah rendah agama. Di situ saya mula berkenalan dengan sahabat-sahabat yang baik. Kami dilatih untuk menjadi hamba Allah yang taat. Seingat saya, sejak tingkatan tiga lagi saya mula berminat untuk memakai jubah serba hitam. Terima kasih ustazah Aisyah yang pernah menjadi guru ganti kami kerana dia setiap hari ke sekolah dengan berjubah hitam. Dia kelihatan paling tidak menarik berbanding guru-guru lain yang berpakaian warna-warni. Tetapi bagi saya, dia terlihat jauh lebih elegan dan sofistikated namun penuh kesederhanaan. Sejak itu saya memasang angan-angan untuk menjadi seperti dia. 


Menginjak dewasa, angan-angan tersebut kian sirna dek pergaulan rakan sebaya. Kami merupakan mangsa peredaran zaman dan budaya pada ketika itu. Bersama-sama mereka, saya mula mengenali fesyen dan trend. Bertudung singkat, berpakaian ketat, berkasut tumit tinggi menjadi lumrah dan norma. Sehingga hari ini, saya tidak sesekali menyalahkan sahabat-sahabat saya. Sebaliknya saya bersyukur  kerana tanpa mereka, saya takkan belajar daripada kesilapan dan mungkin tersasar lebih jauh dari landasan.

Yakinlah, andai Allah tangguhkan sesuatu perkara, ganjaran sebenarnya jauh lebih berganda buat hamba-hambaNya yang bersyukur. Hanya di peringkat sekolah rendah sahaja saya tak berkesempatan bersekolah agama. Tetapi Allah rezekikan saya ke sekolah menengah agama (walau tanpa asas agama). Kemudian Allah juga rezekikan saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa (yang banyak mengajarkan saya ilmu agama). Akhirnya Allah tempatkan saya bekerja di sekolah yang bukan satu, malah dua perkataan agamanya. Sekolah Menengah AGAMA Majlis AGAMA Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP, KL). 

Selama ini kita mendepani kehidupan seperti biasa tanpa menyedari sesungguhnya tiada sebesar zarah pun perkara yang berlaku secara kebetulan tanpa pengetahuan-Nya. Sedangkan sebutir pasir di celahan batu pun dalam pengetahuan Allah, apatah lagi perjalanan hidup seorang hamba. Akhirnya saya sedar bahawa percaturan Allah itu serba sempurna. Semasa di alam pekerjaan inilah Allah mula melimpahkan taufiq dan hidayahnya kepada saya. 

Melapor diri dengan tudung singkat, jarang dan bertoncet pula di sanggul, saya ditegur oleh Penolong Kanan 1 pada ketika itu supaya melabuhkan tudung. Tegurannya penuh berhemah, berhikmah dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam di hati saya. Tidak sekelumit pun bahasanya yang menyinggung perasaan, menyakitkan hati apatah lagi menghina, mengherdik dan mencaci insan yang serba jahil ini.

Sejak hari itu Allah menjentik hati saya untuk terus bertudung labuh. Bermula dengan bidang 45 ke 50 kemudian bidang 55 ke 60. Akhirnya saya bertekad memakai tudung bulat. Hampir 20 helai tudung bulat berwarna-warni saya borong dan gantung dalam almari. Tergerak hati untuk sedekahkan tudung-tudung lama. Namun bila dipegang dan dicuba semula tudung lama itu, berderai air mata, teresak-esak saya menangis mengalahkan baby hingga terduduk dan bersujud di pintu almari.

"Kecilnya tudungku dulu Ya Allah..jarangnya..betapa sanggupnya aku pakai tudung yang sebegitu rupa Ya Allah..bodohnya aku Ya Allah..Jahilnya aku Ya Allah..ampuni aku Ya Allah..ampuni dosa-doasaku Ya Allah.." Lama saya menangis menginsafi dan menyesali sikap sendiri yang mengabaikan perintah Allah untuk melabuhkan tudung menutupi dada. Terima kasih Allah masih menegur dan memberi peluang untukku membetulkan kesilapanku. Allahuakbar. Akhirnya tudung-tudung lama itu saya buang supaya tiada yang mengulangi khilaf saya di masa lalu.


Selepas bertudung labuh, saya mula memakai handsock dan akhirnya saya memutuskan untuk berniqab. Tiada siapa yang memaksa, hanya Allah menjentik hati saya untuk sentiasa ke arah yang lebih baik hari demi hari. Setiap kali bersiap di depan cermin, saya selalu mengucapkan "Alhamdulillah, terima kasih ya Allah, atas nikmat menutup aurat dengan sempurna. Kekalkanlah nikmat ini hingga ke akhir hayatku. Kurniakanlah seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah."

Hingga suatu ketika, Allah padamkan cinta dunia di hati saya. saya mula rasa rimas dengan pakaian berwarna-warni. Bila setiap hari saya perlu berperang dengan diri di hadapan almari "baju warna apa untuk dipadankan dengan tudung warna apa?" Tiba-tiba terdetik dalam hati "Baju warna sekian perlu dipadankan dengan tudung warna sekian. Kalau tak sama dikatakan tak matching, buta warna, tak ikut trend, tak up to date. Kenapa? Dan sampai bila aku perlu terikat dengan undang-undang manusia macam ni?" 

Sejak itu saya mengambil keputusan untuk berlepas diri dari peraturan manusia dan berusaha untuk mencontohi Saidatina Fatimah Azzahra. Saya tak mahu lagi berpakaian cantik dan berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang untuk melirik. Cukuplah saya berpakain serba hitam. Sebelum mula borong pakaian hitam, saya mohon izin suami dulu. Bila dah dapat restunya saya tanya "abang tak malu ke nanti kalau orang tengok isteri abang ni hari-hari pakai serba hitam?" Tersentuh hati saya bila dia jawab "dah bertutup litup macam tu kenapa abang nak malu? Suami yang biarkan isteri dia tayang aurat sana sini itu yang sepatutnya malu." Allahuakbar.

Akhirnya saya sedekahkan semua tudung dan pakaian saya yang berwarna-warni dan mula membeli pakaian hitam untuk dipakai setiap hari. Sedikit pun saya tak rasa sayang, ragu-ragu dan berkira-kira semasa membungkus semua pakaian tu. Sebaliknya saya rasa puas, lapang dan lega sungguh melihat almari yang hampir kosong. Hanya baju batik rasmi, jubah hitam, baju kurung hitam dan tudung 5-6 helai sahaja yang berbaki dalam almari. Saya bersyukur kerana dimudahkan urusan melepaskan sebahagian dunia dari diri saya. Alhamdulillah. 

Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kau dustakan? Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. I love You Ya Allah atas nikmat hidayah dan hijrah ini. Kurniakanlah seluruh Ummat Muhammad nikmat yang sama Ya Allah. Tetapkanlah iman kami, jangan Kau bolak balikkan hati kami. Kurniakan kami keredhaan-Mu di dunia dan akhirat. Satukan kami di Syurga Firdaus-Mu yang tertinggi tanpa hisab dan azab. Aamiin aamiin aamiin Ya Rabbal 'Alamin.


 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


 ~~serikandi~~

2 comments:

  1. MasyaAllah Tabarakallah ❤️ semoga terus tsabat di jalanNya! Jika tak jumpa B di syurga, tolong cari B Di neraka nanti,kak..

    ReplyDelete
  2. Masya Allah.. Tabarakallah..

    ReplyDelete